BAGAN DATUK - Umno akan mengurangkan perbelanjaannya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis, 4 Ogos berbanding PRU dan PRK lain sebelum ini.

Langkah berkenaan diambil parti tersebut selepas akaun ibu pejabat Umno Pusat dan Selangor dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jun lalu sehingga kini.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya mahu parti itu berbelanja rendah tetapi mempunyai impak yang tinggi pada PRK Dun Sungai Kandis.

“Kita tidak akan berbelanja sebagaimana PRU dahulu dengan pegangan kita adalah low cost high impact,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas hadir pada Majlis Kesyukuran Meraikan Bakal-Bakal Haji Kawasan Parlimen Bagan Datuk 1439H/2018M di Wisma Umno Bagan Datuk, Hutan Melintang, petang tadi.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya yakin bahawa masih ramai ahli parti tersebut masih bersama Umno dan akan memberikan sumbangan biarpun akaun dibekukan SPRM.

“Kami amat yakin bahawa mereka yang bersifat dengan Umno masih ramai biarpun sedikit sumbangan daripada mereka, kami yakin komitmen di kalangan ahli Umno masih kekal,” katanya.

Terdahulu SPRM  membekukan 900 akaun bank yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan akaun Umno merupakan salah satu daripadanya.

Pembekuan berkenaan sekali gus menimbulkan pertanyaan pelbagai pihak bagaimana parti itu akan berbelanja bagi bertanding pada PRK Sungai Kandis 4 Ogos depan.

Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.