• Dr Juanda Jaya Dr Juanda Jaya
1 /

SHAH ALAM – Pengerusi PKR Perlis, Mohammad Faisol Abdul Rahman menafikan dakwaan mengatakan wujud perebutan kerusi antara parti itu dan Pas di Perlis susulan desas-desus mengatakan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya akan bertanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Faisol yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR Perlis menyifatkan khabar angin itu tidak berasas, malah dakwaan mengatakan Pas tidak membenarkan tokoh agama itu bertanding di Perlis atas tiket PKR juga tidak benar sama sekali.

Katanya, beliau percaya perkara tersebut sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu yang bermotifkan politik.

“Khabar angin itu tidak benar sama sekali, setakat ini saya tidak pula dimaklumkan tentang hal itu.

“... tidak timbul isu perebutan kerusi di Perlis antara PKR dan Pas, saya difahamkan rundingan itu masih berjalan di peringkat pusat,” bercakap kepada Sinar Harian Online.

Menurut sumber dalaman Sinar Harian Online, Pas dikatakan cuba menghalang tokoh ulama itu daripada bertanding atas tiket PKR di Perlis susulan khabar angin mengatakan Juanda akan menyertai PKR, bukannya Pas sebelum beliau diturunkan dalam gelanggang pilihan raya umum kali ini.

Sinar Harian Online difahamkan Pas cuba memonopoli ketiga-tiga kerusi Parlimen di Perlis walaupun mereka tewas pada tahun 2008.

Perlis mempunyai tiga kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Sebab itu, Pas berebut tiga kerusi itu dan mungkin agak terkilan apabila Dr Juanda yang berlatarbelakangkan agama tidak tertarik untuk menyertai Pas,” kata beliau.

Juanda antara nama yang disebut-sebut, berpotensi untuk bertanding di Kangar bagi menggantikan calon PKR, Tunku Abdul Rahman Tunku Ismail yang tewas kepada calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad lima tahun lalu.

Minggu lalu, Sinar Harian Online membawa laporan Juanda dan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin antara tokoh ulama akan bertanding kali ini.