BERUAS - Pengerusi Umno Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan tuduhan pihak pembangkang bahawa BN membawa pengundi hantu ke negeri itu sebagai politik jahat dan terdesak.

Menteri Besar Perak berkata pihak pembangkang perlu bertanggungjawab terhadap tuduhan tersebut dengan menghantar nama-nama pengundi yang dikatakan pengundi hantu kepada pihak polis.

"Mereka mesti bertanggungjawab apa yang mereka sebutkan dan tayangkan iaitu kotak-kotak (mengandungi nama pengundi hantu) itu dan bawa kepada polis. Jika tidak, mereka tidak bertanggungjawa

"Kita nak tahu, itu hantu pakatan ke atau hantu diwujudkan oleh Nga Kor Ming untuk dijadikan pengundi hantu. Jadi, saya cabar mereka bawalah (kepada polis),"katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Himpunan Usahawan dan Pelancaran Kelab Usahawanita Tunas Inspirasi Beruas (KuTUB) Amanah Iktiar Malaysia (AIM) Cawangan Manjung di sini, hari ini.

Selasa lepas, Nga yang juga Pengerusi DAP Perak mendakwa pihaknya mempunyai bukti mengenai kewujudan lebih 165,000 pengundi hantu yang dibawa masuk ke negeri itu menjelang PRU14.

Nga yang juga Adun Kepayang mengugut akan menyerahkan semua bukti tersebut kepada polis jika BN negeri tidak membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pembangkang dalam tempoh 24 jam kerana sebelum ini menyifatkan kewujudan pengundi hantu itu hanya sandiwara politik.

Pada majlis itu, Zambry turut mengumumkan pemberian peruntukan berjumlah RM100,000 kepada KuTUB.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif AIM Datuk Dr. Zubir Harun berkata sehingga kini, sebanyak RM18 bilion pembiayaan telah dikeluarkan bagi membantu 387,722 sahabat AIM sejak ia ditubuhkan 30 tahun lepas.

Bagi tahun ini, AIM menyasarkan pembiayaan sebanyak RM2.5 bilion kepada sahabat dan sehingga Ogos 2017, sebanyak RM1.5 billion telah disalurkan kepada sahabat di seluruh Malaysia.

"Bagi AIM Perak, sebanyak 36,000 sahabat telah menyertai Sahabat dan secara terkumpul telah memberi pembiayaan sebanyak RM1.8 bilion," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :