BATU KURAU - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bakal ditandingi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan medan terbaik bagi Pas dan Umno untuk menguji kerjasama politik secara lebih serius.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, kerjasama politik antara Umno dan Pas adalah sangat longgar, namun perkara itu mungkin boleh berubah menjelang PRK keempat selepas PRU14.

Menurutnya, keputusan kerjasama politik antara dua parti Melayu terbesar juga amat penting bagi menguji sejauh mana keberkesanan kerjasama itu mendapat tempat pada hati pengundi, sekali gus menjadi rujukan bagi menghadapi PRU15.

"Umno menyambut baik kesediaan Pas untuk bekerjasama dan saya melihat gagasan baharu boleh direalisasikan bukan sahaja dengan Pas, namun dengan beberapa pihak lain kerana kita bersedia membuka pintu kerjasama dengan sesiapa sahaja.

"Kita juga boleh duduk berbincang bagi menentukan perincian terma syarat (pembentukan gagasan baharu), namun terma kerjasama tidak boleh hanya mengikut acuan Pas sahaja kerana parti itu pun perlu berubah," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Dr Muhammad Amin berkata, di sebalik saranan Pemuda Pas Perak menggesa Umno berubah dan insaf dalam perjuangan politiknya, pihaknya juga ingin menasihatkan parti Islam itu agar turut berubah ke arah lebih positif.

Menurutnya, Pas juga perlu mengubah pendekatan agar boleh diterima semua pihak, bukan sahaja dalam aspek keagamaan, tetapi dalam bidang lain berkaitan dengan kehidupan seharian rakyat negara ini.

"Selain itu, secara peribadi saya melihat konsep gagasan BN boleh disemak kembali dan diperbaiki untuk memenuhi keperluan politik semasa negara.

"Jika dahulu, keputusan dibuat hanya melibatkan kepentingan etnik kaum utama yang mewakili parti-parti komponen BN, namun kali ini kerjasama gagasan itu perlu dilihat secara lebih terperinci dengan mengambil kira keperluan semasa semua kaum di negara ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Mohammad Noor Dawoo sewaktu dihubungi menegaskan segala terma dan syarat ditetapkan bagi menjayakan agenda kerjasama politik antara Pas dan Umno perlu ditentukan sendiri kepimpinan tertinggi kedua-dua parti itu.

Menurutnya, formula kejayaan yang boleh dikecapi dengan kerjasama politik Pas, Umno sudah ada dan perkara itu dilihat sudah boleh diterima kedua-dua pihak.

"Cuma kalau ambil kira syarat-syarat dan terma kerjasama yang perlu ditetapkan kedua-dua pihak, biarlah perkara itu diputuskan kepimpinan tertinggi Pas dan Umno.

"Realiti politik hari ini, kita tidak boleh kata Umno teruk, kita juga tidak boleh kata Pas hebat.

"Pas ada kekuatan, Umno juga ada kemampuan. Namun punca kemenangan PH pada PRU14 disebabkan kegagalan orang Melayu untuk membuat keputusan bersama menyokong sesebuah parti mewakili kaum itu secara drastik," katanya.

Mohammad Noor turut menyifatkan perpecahan undi kaum Melayu menjadi faktor utama aliran pengundi Cina kini dilihat penentu kemenangan PRU mana-mana pakatan parti.

"Malahan aliran undi kaum Cina ibarat jam pasir, sebelum ini bila mereka menganggap kerajaan BN tidak bagus, mereka beralih menyokong PH.

"Namun tidak mustahil pada masa hadapan jika mereka lihat kerajaan PH tidak tunjuk prestasi baik, mereka juga mungkin akan kembali kepada BN," katanya.