SHAH ALAM - Pemuda Umno masih berharap parti dapat mempertimbangkan keperluan menonjolkan lebih ramai calon muda pada PRU14 ini.

Exconya, Dazma Shah Daud berkata, ini kerana Pemuda Umno dan BN telah membuktikan bahawa mereka sentiasa menunaikan janji orang muda dan memperjuangkan keperluan golongan itu.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sentiasa dengar kehendak orang muda yang kita perjuangkan. Kalau diberi peluang, kita mohon agar pucuk pimpinan mempertimbangkan keperluan letak calon muda di tempat sesuai.

“Ada sesetengah kawasan sesuai dengan orang muda dari segi geografi dan sosial seperti di kawasan bandar,” katanya mengulas laporan Astro Awani bahawa menurut sumber dalaman BN, ramai nama Pemuda ‘digugur’ daripada senarai akhir calon BN yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Dazma Shah berkata, beliau tidak mengetahui mengenai ura-ura tersebut, namun percaya Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sudah pun memberikan senarai calon muda.

Bagaimanapun, katanya, Pemuda Umno dan BN akan tetap memberi keutamaan kepada parti walaupun tidak tersenarai sebagai calon.