SHAH ALAM - Calon yang kalah dalam pemilihan Umno wajar dilantik sebagai ahli biro bagi mengelakkan berlaku perpecahan dalam parti.

Calon Exco Pemuda Umno, Muhamad Mukhlis Maghribi berkata, itu adalah alternatif paling berkesan bagi mengelakkan perpecahan dan parti dalam berfungsi dengan lebih baik

“Bayangkan, calon untuk bertanding bagi merebut sesuatu jawatan adalah ramai. Kita lihat jawatan Ketua Pemuda Umno sekalipun bukan dua calon yang bertanding tetapi tujuh orang.

“Begitu juga dengan jawatan-jawatan lain. Jadi sudah tentulah kalau kerusi yang dipertandingkan cuma 20 dan yang bertanding seramai 200 lebih tentu sekali 180 lebih akan menerima kekalahan. Bila cakap soal bertanding tentu sekali ada yang menang dan yang kalah,” katanya ketika FB Live Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, apa yang perlu difikirkan adalah cara sesuai bagi mengelakkan calon yang gagal itu rasa terpinggir.

Katanya, apabila exco-exco dipilih dan dilantik, setiap daripada mereka ini akan mempunyai biro masing-masing dan calon yang kalah boleh dilantik ke dalam biro tersebut.

“Seperti ahli majlis tertinggi Umno mempunyai biro mereka sendiri. Di dalam biro akan ada biro mereka sendiri seperti biro sukan, biro ekonomi dan biro agama dan sebagainya.  

“Jadi pemilihan kepada ahli-ahli biro ini boleh diambil daripada mereka yang telah menawarkan diri. Apabila seseorang itu telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan. Sudah tentu dia berasakan dirinya layak, berasa dia boleh menjadi pemimpin, mempunyai minat, ada jati diri, dia boleh buat kerja dan dia mahu boleh pulihkan Umno,” katanya lagi.

Mengulas mengenai strategi beliau dalam perjuangan Pemuda Umno, Muhamad Mukhlis berkata  beliau mahu memberi fokus kepada golongan yang berada di universiti, matrikulasi dan tingkatan enam kerana golongan tersebut akan menjadi pengundi pertama kali pada PRU15 akan datang.

Katanya, berdasarkan kepada pengalaman yang dimiliki, beliau berasakan mampu untuk membawa pengundi pertama kali ini mengundi Umno dalam PRU15.