PETALING JAYA - Bersatu Melaka mendakwa ketua armadanya, Ramlan Meon telah dipukul oleh sekumpulan penyokong Umno dalam kejadian pada 10 Julai lalu.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Mohd Redzuan Yusof berkata, sehari sebelum kejadian itu berlaku, Ramlan ditugaskan memasang bendera, sepanduk dan kain rentang bersempena Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Peringkat Nasional yang dianjurkan di Melaka.

“Namun begitu, beberapa pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mencabut bendera, sepanduk dan kain rentang tersebut beberapa jam sebelum program bermula sehingga menyebabkan Ramlan hilang sabar serta mengeluarkan kata-kata kesat.

“Malah kami akui terdapat video memaparkan Ramlan mengeluarkan kata-kata tidak elok itu, namun selepas pertikaian berakhir, kedua-dua pihak mengakui kesilapan masing-masing dan saling bermaafan.

“Ramlan bertindak demikian selepas tidak berpuas hati ekoran kain rentang BN dipasang secara berleluasa dan bertentangan dengan peraturan sedia ada, namun tidak dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Rentetan kejadian itu, Redzuan memaklumkan bahawa Ramlan telah dihubungi oleh seorang kenalan rapat beliau yang merupakan ahli dan penyokong kuat Umno bagi menyelesaikan konflik yang berlaku tersebut secara baik.

Menurut Redzuan, Ramlan telah menerima pelawaan penyokong Umno tersebut dan hadir ke sebuah restoran bersama dua rakannya.

“Setibanya di sana, sekumpulan lelaki terdiri daripada belasan orang, di mana sebahagian daripadanya memegang jawatan penting dalam Umno, sudah menunggunya.

“Selepas itu, Ramlan ditumbuk beberapa kali di muka, dipaksa telan segenggam cili padi, diugut untuk ditikam dengan pisau, malah turut menghantukkan kepala,” katanya.

Ekoran kejadian itu, Redzuan memaklumkan bahawa Ramlan telah membuat laporan polis.

Sementara itu,  Ketua Penerangan Armada Nasional, Ulya Husamudin berkata, isu ini bukannya perkara biasa memandangkan telah mendatangkan kecederaan teruk kepada mangsa.

“Ramlan mengalami retak tulang pipi, kecederaan di mata serta tisu otak.

“Ini perkara serius dan Armada percaya budaya gengster ini adalah budaya sangat teruk di dalam Umno sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ramlan yang turut hadir pada sidang media tersebut turut memohon maaf kepada pihak MBMB berikutan terkasar bahasa dalam kejadian tempoh hari.

Katanya, pihaknya tidak bermaksud untuk melakukan tindakan sedemikian selepas tidak dapat mengawal perasaan sehingga mengeluarkan kata-kata tidak elok.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.