SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mencadangkan biro politik parti itu itu mengadakan perbincangan dakwaan penipuan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low dalam isu 1MDB.

Kenyataan itu dibuat susulan pengakuan yang dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia ditipu jutawan berkenaan atas tuduhan melakukan penyelewengan terhadap dana 1MDB berdasarkan kepada bukti penyelewengan Jho Low yang muncul ketika ini.

Annuar berpendapat, perkara itu perlu diteliti Umno dari pelbagai sudut memandangkan ia melibatkan negara dan parti, selain untuk mempertahankan kebenaran.

"Biro Politik Umno harus meneliti dan bincangkan perkara ini secara teliti tapi tanpa terburu-buru. Ia harus di teliti dari pelbagai sudut.

"Jika benar sudah ditipu dan penipuan yang sebegini besar melibatkan negara dan kita semua, maka ia tidak boleh dipandang sebelah mata atau di biarkan begitu saja," katanya dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mungkin Jho Low tipu Malaysia, kata Najib]

Najib membuat pengakuan itu ketika menjawab soalan berkaitan penipuan yang dilakukan Jho Low terhadap dana 1MDB dalam sesi Sinar Live dikendalikan Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali, hari ini.

Mengulas tentang pengakuan bekas Presiden Umno itu, Annuar berpendapat, Najib telah mengambil tindakan yang betul dengan memaklumkan bahawa beliau dan kerajaan sebelum ini telah ditipu.

"Pengakuan ini bermakna parti turut tertipu kerana parti mempertahankan kerajaan berdasarkan maklumat dan penjelasan PM dan kerajaan ketika itu, 'in good faith' (dengan niat baik)," katanya.