• Kumpulan penyokong Pas turut membanjiri perkarangan Kompleks Pejabat Kerajaan pada PRU 12 lalu, bagi memberi sokongan kepada calon mereka. Kumpulan penyokong Pas turut membanjiri perkarangan Kompleks Pejabat Kerajaan pada PRU 12 lalu, bagi memberi sokongan kepada calon mereka.
1 /

Jerantut - Parlimen Jerantut (P 081 ) antara kawasan mengundi yang mencabar pada Pilihan Raya Umum (PRU) 12 lalu. Terdiri daripada semua komposisi kaum, kawasan ini mempunyai satu Parlimen dan merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (Dun).

Daripada keputusan PRU lalu , jelas membuktikan cabaran untuk berdepan PRU13 lebih sengit dan terasa bahangnya, berikutan pelbagai isu yang mula wujud dan ada yang masih belum selesai.

PRU 12 lalu menunjukkan hanya Dun Damak bertanding bagi tiga penjuru, melibatkan pertembungan antara Barisan Nasional (BN), Bebas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala bagi kerusi Parlimen , Dun Tahan dan Dun Pulau Tawar masingmasing berentap dua penjuru melibatkan BN dengan Pas. Keputusan PRU lalu masih memihak kepada BN untuk menerajui Parlimen Jerantut, namun apakah kejayaan yang sama masih boleh diulang bagi PRU 13 akan datang?.

Senario semasa seperti demonstrasi, gelombang hijau, isu di peringkat nasional, masalah dalaman parti, dan masalah isu setempat yang masih belum selesai antara yang memberi pengaruh kepada PRU 13 kelak, dengan kesannya amat dirasai oleh rakyat yang menjadi hakim dalam PRU.

Tidak dinafikan kemenangan BN di Jerantut dahulu juga adalah kerana mendapat sokongan besar daripada lebih 20,000 warga peneroka dari 14 tanah rancangan Felda yang ada di Parlimen ini, dan mampukah Felda terus menjadi kubu kuat BN untuk memastikan kemenangan pada PRU 13 kelak.

Pada PRU 12 lalu, calon BN iaitu Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar menang dengan majoriti 1,946 menewaskan calon Pas yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Dr Hamzah Jaaffar.

Setelah menerajui lebih tiga penggal kerusi Parlimen Jerantut, Tengku Azlan mula menyatakan hasrat pengundurannya untuk tidak lagi bertanding pada PRU 13 akan datang, dan pastinya ia memberi persaingan sengit dan cabaran baru buat BN di Jerantut.

Difahamkan senarai calon untuk bertanding kerusi parlimen pada PRU 13 juga sudah dikemukakan Umno Bahagian di peringkat pusat dan perhubungan negeri.

Dari sumber dalaman Umno, seramai 8 nama calon di senarai bagi kerusi Parlimen Jerantut yang dipersetujui bersama.

Calon disenaraikan itu terdiri daripada Ketua Umno Bahagian, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar ; Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak; Naib Ketua Umno Bahagian; Datuk Nazri Ngah ; Setiausaha Umno Bahagian, Datuk Mohd Zukarmi Abu Bakar ; Adun Pulau Tawar ; Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail; Ketua Penerangan Umno Jerantut, Ahmad Nazlan Idris dan Mantan Ahli Parlimen Jerantut 1995 - 1999, Ahmad Kamaruzaman Mohd Baria dan Mantan Adun Tahan yang juga ahli Jawatankuasa Umno Bahagian, Datuk Ahmad Jaafar.

Turut difahamkan, Tengku Azlan bakal bersara dari kerusi parlimen, namun masih tetap mempertahankan jawatan Ketua Bahagian yang disandangnya.

Justeru, percaturan BN dengan hasrat pengunduran disuarakan itu memberi gambaran jelas PRU 13 bagi kerusi P81 antara yang sengit, yang turut membuatkan parti lawan mempersiapkan jentera .

Pas mungkin letak muka baru

DARI sumber dalaman Pakatan Rakyat (PR) Jerantut pula, calon yang akan ditemukan dengan BN bagi PRU 13 kelak juga bakal diletakkan calon Pas, dengan dijangka muka baru akan turut diketengahkan bukan sahaja di kerusi Parlimen, malahan bagi kerusi Dun Tahan dan Dun Pulau Tawar.

Berbeza bagi kerusi Dun Damak, PRU 12 dahulu menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan BN, PKR dan Bebas, namun berbeza PRU 13 kelak, dijangka pertembungan sengit satu lawan satu bakal berlaku.

Sumber dalaman Pas turut menyatakan gelombang perubahan rakyat semakin jelas diperlihatkan di parlimen Jerantut, khususnya di kawasan Felda dan kalangan pengundi muda saluran tiga dan empat.

PR begitu yakin menang besar bagi PRU 13 kali ini jika BN benar-benar meletakkan muka baru bagi kerusi Parlimen.

Tidak dinafikan PRU 13 antara yang sengit, justeru menuntut pelan strategi berkesan perlu dimainkan semua parti bertanding.

Kedudukan politik semasa kini antara yang dilihat tidak konsisten, dengan kesemua parti politik berada di kedudukan sama rata, justeru harus diingat calon boleh menang belum tentu boleh menang, jika ahli parti buat hal di saat akhir.

Penyakit sabotaj itu bukanlah perkara luar biasa kerana ia sering terjadi dalam mana-mana parti sekali pun, jadi bagi kesemua parti bertanding ‘calon boleh menang’ yang dipilih bukan hanya perlu disenangi pemimpin parti, tetapi mesti disenangi pengundi dan paling utama calon boleh bawa kemenangan.