PADANG BESAR - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid menggariskan empat ciri yang perlu ada pada penyokong dan anggota Umno untuk memenangi PRU14.

Katanya ciri-ciri tersebut ialah kesepakatan, kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kepercayaan kepada pimpinan bahagian dan tidak kecewa di tengah jalan dengan meninggalkan ‘peperangan’ yang belum tamat.

“Sekiranya semua penyokong dan ahli Umno berpegang kepada ciri-ciri ini, saya yakin kita tidak akan kecewa apabila menghadapi pembangkang pada PRU14 kelak,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Padang Besar di Maktab Rendah Sains Mara Beseri, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Sementara itu, Mahdzir turut mendedahkan Pas kini bekerjasama dengan Umno selepas menyedari niat DAP yang mahu memecahbelahkan orang Melayu.

Strategi DAP menerusi Lim Kit Siang ialah memecahbelahkan undi Melayu dan mengapi-apikan orang Cina dan India agar membenci Umno, katanya.

“Mereka dilihat berjaya dengan strategi ini pada PRU12 dan PRU13 hasil kerjasama dengan Pas. Pas bagaimanapun menyedari niat tidak baik DAP lalu menarik diri dan kini bekerjasama dengan Umno untuk menyatukan orang melayu,” katanya.

Beliau juga meminta ahli Umno agar tidak bersekongkol dengan pembangkang atas dasar belas kasihan dan ini termasuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menentang Umno.

“Dalam politik tidak ada belas kasihan,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HULU SELANGOR - Umno dan BN Selangor mengutuk tuduhan tidak berasas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bertanggungjawab atas kekecohan yang berlaku di forum Nothing to Hide 2.0 pada Ahad lalu.
  • KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, ada pihak beranggapan kekalahan BN Selangor pada PRU12 berpunca daripadanya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.