TANJONG KARANG - Umno Selangor sudah mengemukakan beberapa nama calon tempatan mewakili parti itu sebagai persiapan Umno untuk bertanding PRK Dun Sungai Kandis, 4 Ogos depan.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, senarai calon dan hasil rumusan yang dibincangkan perhubungan negeri telah dihantar kepada presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

“Ada beberapa nama kita dah serahkan termasuk calon lelaki dan wanita, tetapi itu belum muktamad kerana ini hanyalah di peringkat cadangan,” katanya pada sidang media selepas

Majlis Penyampaian Sumbangan Bakal Jemaah Haji Tanjong Karang di Dewan Umno Bahagian Tanjong Karang.

Noh yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, kebiasaannya, nama calon yang dihantar itu terdiri dalam kalangan ahli Umno.

“Mungkin ada juga yang memberi pandangan kenapa tidak cuba sekali calon daripada luar Umno, tetapi perkara ini kita serahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya.

Beliau berkata, dalam perbincangan itu juga, parti itu bersedia menggunakan lambang Umno dan berharap pertandingan satu lawan satu menentang Pakatan Harapan (Harapan).

“Umno Selangor bersetuju supaya cadangan menggunakan lambang Umno dan memohon supaya Pas memberi laluan kepada Umno bertanding berdasarkan pendirian parti itu sebelum ini yang hanya bertanding jika satu lawan satu” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin Ahmad Zahid lebih arif berhubung penentuan calon layak dan kesediaan Umno dalam menghadapi PRK kali ini.

Ditanya soal jentera dan strategi Umno dalam menghadapi PRK Dun Sungai Kandis, Noh berkata, perkara itu juga dibincangkan, tetapi tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Hasil perbincangan kita, pendekatan jentera kita kali ini mestilah berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini,” katanya.

Ditanya peluang BN untuk merampas kerusi itu, Noh berkata, berdasarkan PRU14 lalu, parti itu berdepan kesukaran untuk menang di kerusi terbabit.

“Memang emang sukar untuk kita menang kerana undi Harapan di situ lebih tinggi.

“Kali ini, jika kita bertanding, kita ada tema sendiri iaitu ‘Undilah Umno jika nak kerajaan Harapan tunaikan janji’,” katanya.

Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya iaitu Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.