IPOH – BN Perak tidak akan terperangkap dengan sebarang kajian yang dilakukan pembangkang walaupun dapatan  yang dikeluarkan itu bersifat positif dan memihak kepada BN.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, itu mungkin pandangan atau analisa mereka namun persoalannya bagaimana kajian itu dibuat.

Menurut beliau, sebelum ini, mereka turut  memberi gambaran teruk tentang Pas yang tidak mendapat sebarangan sokongan daripada kajian yang dilakukan sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat.

“Paling penting kita tidak mahu terperangkap dengan kajian yang datangnya dari kelompok mereka (pembangkang) yang sememangnya mempunyai kepentingan atau memberikan makna tertentu.

“Mereka hanya memberikan gambaran yang menyeronokkan. Apabila kita seronok, kita akan berasa menang. Dalam perkara ini, kami melihat dari konteks setiap negeri dan daerah bukan kajian secara umum sebegitu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengikuti Executive Talk with Sister Sabria ‘Compassion without border’ di Dewan Bankuet Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri  hari ini.

Katanya, kajian yang dilakukan oleh BN menggunakan pendekatan berdasarkan konteks yang ada di Dun dan Parlimen kerana lebih praktikal dan nyata berbanding kajian sampling.

Bagaimanapun tambahnya, persiapan dan gerak kerja berterusan akan dilakukan untuk memastikan Perak agar tahap sokongan rakyat dapat dikekalkan dan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kita tidak boleh selesa dengan dapatan itu yang mungkin hanya mengelirukan rakyat dan mengelak daripada menjadi mangsa daripada terpengaruh dengannya,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan dalam ceramahnya malam tadi dapatan kajian Invoke bahawa Umno kukuh di Perak dan masih mendapat sokongan walaupun bertanding tiga penjuru atau satu lawan satu.