KOTA BHARU - BN Kelantan akan mengumumkan manifesto parti itu secara besar-besaran di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong, Khamis ini.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelancaran manifesto nanti akan dimulakan dengan solat Maghrib, Isyak, solat hajat dan tazkirah yang melibatkan 20,000 penyokong.

Menurutnya, manifesto nanti turut memberi tumpuan kepada golongan belia, isu tanah, infrastruktur, wanita, Islam dan juga dakwah.

“Ini kali pertama kita lancarkan manifesto secara besar-besaran di tempat yang terbuka, kali ini ia lebih inklusif membabitkan seluruh lapisan masyarakat Kelantan.

“Saya menjemput seluruh rakyat Kelantan untuk hadir kerana manifesto ini bukan untuk BN, ini untuk masa depan Kelantan,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat khas kepimpinan BN Kelantan di sini yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Mengulas mengenai calon pula Mustapa berkata, senarai di peringkat negeri sudah dimuktamadkan dan menunggu lampu hijau untuk diumumkan.

“Dari segi calon kita sudah buat yang terbaik dan kita yakin barisan pilihan ini akan diterima baik oleh sebahagian besar rakyat Kelantan,” katanya.