MELAKA adalah antara negeri di Semenanjung Malaysia yang menjadi kubu kuat Umno-BN sejak dahulu lagi.

Jika diperhalusi, pada PRU12, Pakatan Rakyat hanya memenangi satu kerusi parlimen di sana iaitu Kota Melaka dan lima kerusi Dun - Bachang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Bagaimanapun, pada PRU13, trend sokongan kepada Umno-BN mula berubah arah apabila sokongan rakyat dilihat tertumpu kepada gabungan Pakatan Rakyat yang pada waktu itu dianggotai PKR, DAP dan Pas.

Perubahan ketara itu dapat dilihat menerusi keputusan keseluruhan pada PRU13, dengan  dua kerusi parlimen di Melaka iaitu Kota Melaka dan Bukit Katil dimenangi oleh calon Pakatan Rakyat.

Malah, di peringkat Dun juga, Pakatan Rakyat telah berjaya memenangi tujuh kerusi iaitu Bachang, Ayer Keroh, Bukit Baru, Kesidang, Duyong, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Lebih mengejutkan, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin turut berjaya menewaskan antara calon kuat BN ketika itu, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dengan kemenangan majoriti 5,447 undi.

Secara keseluruhannya, Umno-BN berjaya mengekalkan kemenangan pada PRU13, dengan empat kerusi parlimen dan 21 Dun walaupun kedudukan mereka hampir-hampir dicabar oleh Pakatan Rakyat.

Perkembangan itu secara jelas menunjukkan Pakatan Rakyat semakin dapat diterima orang Melaka bagi menggantikan Umno-BN yang selama ini dianggap mempunyai kedudukan kukuh di negeri itu.

Namun, trend perubahan sokongan itu juga tidak dapat dijadikan penanda aras bagi menjanjikan kemenangan pembangkang pada PRU14 di Melaka, susulan perkembangan Pas yang memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR dan DAP.

Tambahan pula, kewujudan parti-parti baharu seperti Amanah dan Bersatu dalam Pakatan Harapan pastinya mengubah momentum sokongan terhadap barisan pembangkang.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kewujudan parti baharu itu dilihat tidak akan memberi kesan besar terhadap sokongan rakyat kepada Umno-BN.

“Jika kita lihat, penglibatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Harapan berkemungkinan dapat menjadi pengaruh bagi menarik undi golongan Melayu di Melaka, namun ia tak akan beri kesan besar.

“Ini kerana, Melaka tak ada simbolik bagi Mahathir, berbanding dengan negeri lain seperti Kedah dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, Azizuddin berkata, pihaknya juga menjangkakan Umno-BN dapat mengekalkan kemenangan di Melaka pada PRU14 walaupun momentum sokongan terhadap parti itu menunjukkan trend penurunan pada PRU13.

Beliau berkata, Melaka adalah sebuah negeri yang kecil dan situasi itu dilihat tidak akan membebankan Umno-BN bagi mempertahankan kemenangan di negeri itu.

“Jika dilihat, kerusi Kota Melaka yang dimenangi pembangkang sebelum ini juga adalah  kerusi tradisi mereka kerana kebanyakan pengundi di kawasan itu terdiri daripada kaum Cina.

“Manakala Bukit Katil pula berjaya dirampas oleh PKR pada PRU13 kerana berlakunya peralihan pengundi Cina di sana. Namun saya menjangkakan saingan sengit bakal berlaku di kerusi tersebut kali ini,” katanya.

Mengulas mengenai kerusi Bukit Katil, Azizuddin berkata, Umno-BN sewajarnya meletakkan calon baharu untuk bertanding di kawasan tersebut bagi merampas semula kerusi tersebut pada PRU14.

Menurutnya, langkah tersebut dilihat relevan kerana calon PKR yang memenangi kerusi itu juga turut mempunyai pengaruh kuat di kawasan terbabit.

“Saya menjangkakan kerusi Bukit Katil 50-50 kerana ia amat sengit dan Umno-BN perlukan muka baharu jika ingin tawan semula kawasan berkenaan,” katanya.