ALOR SETAR – Pakatan pembangkang yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad semakin menunjukkan ‘belang’ apabila sikap mementingkan agenda peribadi mereka semakin  hari semakin  terserlah menjelang PRU14.

Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, perkara itu terbukti apabila satu persatu agenda tersirat mereka terdedah, termasuklah pengakuan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir baru-baru ini yang menyatakan ada menyimpan hasrat menjadi pemimpin.      

“Itu yang saya sebut selalu, agenda sebenar Dr Mahathir ini agenda menaikkan anak dia, sebab itu dia beria-ia. Untuk permulaan ini dipilih oleh Pakatan Harapan untuk dia jadi Perdana Menteri (PM) tapi sebenarnya suatu hari nanti dia berhasrat sangat jadikan Mukhriz sebagai PM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pasar Tani di Taman Wira Mergong di sini hari ini dan menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada lebih 400 keluarga di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Kedah itu mengulas pengakuan Mukhriz ketika membaca keterangan saksi di Mahkamah Tinggi baru-baru ini, bahawa setiap ahli politik, seperti beliau sendiri menyimpan hasrat untuk menjadi pemimpin termasuklah sebagai Perdana Menteri, tetapi bukan melalui 'pakatan sulit' seperti didakwa bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. - Bernama