KUALA TERENGGANU – Semua pihak perlu positif dengan keputusan pimpinan BN khusus di Terengganu untuk meletakkan calon wanitanya di kawasan disandang pembangkang pada PRU14.

Bekas calon wanita BN di Dun Batu Burok, Nordiana Shafie berkata, kepimpinan parti mungkin lebih mengetahui apa yang terbaik dan kerusi sesuai untuk calon wanita.

Beliau yang merupakan calon wanita terakhir diketengahkan BN pada PRU12 lalu turut mengakui Dun ditandinginya itu bukanlah kawasan kubu kuat pembangkang.

“Kita kena positiflah dengan kepimpinan parti.  Kepimpinan parti mungkin tahu yang terbaik dan mana tempat yang sesuai. Malah semasa kalah dulu (di Dun Batu Burok), ia bukanlah kawasan panas pembangkang pun.

“Mungkin persepsi orang Terengganu ketika itu sebab pengundi itu memainkan peranan, sukar menerima pemimpin wanita tetapi kali ini, harapan kita pengundi boleh buat keputusan dan fikir yang terbaik secara keseluruhan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau juga turut menggalakkan pengundi wanita memberi sokongan penuh kepada calon wanita yang ditampilkan BN kelak.

“Mengikut statistik, pengundi di kalangan wanita adalah 51 peratus. Jika semua sokong (calon wanita BN),  ditambah penyokong-penyokong sedia ada, (BN) mampu menang dengan bergaya,” katanya.

Beliau juga berkeyakinan bahawa calon wanita yang bakal bertanding pada PRU14 itu mampu menarik golongan pengundi muda.      

“Kita juga yakin calon wanita yang bakal bertanding juga mampu menarik golongan muda,” katanya.

Nordiana juga merupakan bekas Ketua Puteri Umno negeri dan pernah dilantik sebagai senator pada PRU12 lalu bertanding di Dun Batu Burok tewas kepada calon Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dengan majoriti 1,161 undi.