SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan (Harapan) Selangor diketuai Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan 200 bantahan Syor Kedua Kajian Persempadanan Semula di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Selangor (SPR) di Kompleks PKNS di sini semalam.

Wan Azizah berkata, bantahan tersebut mewakili 30,000 tandatangan yang dikumpulkan parti komponen Harapan dan NGO Bersih.

Menurutnya, beliau berharap SPR meneliti bantahan dan bertindak profesional serta adil tanpa memihak mana-mana parti.

“Berdasarkan jumlah bantahan yang tinggi, jelas rakyat Selangor lebih peka dan sedar akan hak demokrasi dan kaedah perjalanan pilihan raya di Malaysia.

“Bantahan dibuat bagi menjamin hak pengundi di Selangor dan SPR perlu mengatasi ketidaksamarataan jumlah pengundi yang ketara seperti Sabak melibatkan pengundi 15,033, sedangkan Seri Serdang mencecah 74,563 orang,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,  Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Sementara itu, Maria Chin berkata, bantahan dibuat kerana wujudnya pelanggaran prinsip yang termaktub dalam perlembagaan iaitu bilangan pengundi di setiap kawasan pilihan raya tidak sekata.

“Ini bukan hanya tentang persempadanan tetapi melindungi perlembagaan dan mempertahankan pilihan raya bersih dan adil.

“Pada 14 Februari adalah hari terakhir mengemukakan bantahan dan sesiapa yang mahu melindungi demokrasi perlu berbuat demikian. Kami masih harap ada perubahan pada laporan akhir persempadanan semula yang akan dihantar kepada perdana menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah memaklumkan, Subang Jaya menghantar 14 set bantahan mewakili 2,000 tandatangan yang dikumpulkan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RANTAU PANJANG - Pemuda Pas Kelantan mengakui cadangan persempadanan semula Dun Meranti ke Parlimen Pasir Mas menjejaskan kekuatan Pas di Rantau Panjang.
  • KEMAMAN - Persempadanan semula bukanlah perkara baharu dalam proses perjalanan pilihan raya di negara ini dan ia tidak perlu dipolitikkan oleh Presiden Parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengelirukan rakyat.
  • SHAH ALAM - Persempadanan semula yang akan dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka memberi keuntungan kepada BN di Selangor.
  • SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan kerajaan negeri membuat bantahan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).