SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali nafi mengumumkan kemenangannya dalam pemilihan itu seperti dilaporkan media sebelum ini.

Beliau menegaskan sekadar berterima kasih kepada ahli parti kerana meneruskan agenda reformasi.

Malah beliau menuding jari kepada pihak media sebagai laporan kurang tepat terhadap ciapan di Twitter miliknya itu.

"Itu kerana kesilapan pihak media yang memberi laporan tidak tepat. Saya tidak pernah 'claim victory' sehinggalah JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) mengumumkan secara rasmi.

"Kalau saudara lihat 'tweet' saya, saya sekadar menyatakan 'Alhamdulillah dan syukur saya berterima kasih kepada semua ahli parti yang berjaya meneruskan agenda reformasi'.

"Di mana yang saya 'claim victory' dalam 'tweet' itu? Adakah saya cakap sekarang saya pemenang pemilihan parti? Cuma mungkin ada pihak yang tersilap buat laporan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres AMK dan Wanita PKR 2018 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Azmin dilaporkan mengumumkan kemenangan tidak rasmi di Twitter dalam pemilihan parti bagi jawatan Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2018-2021.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi memberitahu telah memaafkan mana-mana pihak yang tersilap lapor namun berharap mereka lebih berhati-hati pada masa hadapan.

"Saya maafkan tapi saya berharap lain kali berhati-hati dalam membuat laporan kerana saya tetap mematuhi prosedur peraturan parti dan kita serahkan kepada JPP untuk laksanakan tugas mereka," katanya.