KUALA LUMPUR - Tiada masalah sekiranya anak muda di negara ini ingin bersikap anti establishment (anti pemerintah).

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, mereka boleh kekal sebegitu namun haruslah dalam konteks bertanggungjawab, responsif dan kritis.

"Biarkan orang muda anti establishment kerana itu memang sikap mereka daripada dulu. Tapi kita mesti lihat ke arah positif, jangan jadi anak muda yang tenggelam kerana soal isu tanpa memahami fundamental.

"Tengok isu-isu sensasi kita seronok dan lupa bagaimana formula BN itu memerintah rakyat pelbagai kaum. Sehingga kita terjun dalam politik cauvinis," katanya dalam sidang media selepas siri Diskusi Umno Online Anda Tanya Kita Jawab berjudul Anak Muda Anti Establishment di sini, semalam.

Katanya, sikap anti establishment tidak sepatutnya terhad kepada kerajaan memerintah, malah juga kepada parti pembangkang.

"Pakatan Harapan juga adalah pemerintah. Jangan ingat pemerintah ini BN saja, tidak.

"Akhirnya yang penting ialah soal kebijaksanaan dan bestari.  Bertindaklah dengan jauhari dan dapat nilai yang mana benar," katanya.

Mengulas mengenai anak muda yang menolak politik, Annuar berkata, ia berpunca daripada sikap pemimpin politik sendiri.

"Kalau anak muda tak minat politik, itu salah kita. Sejauh mana pemimpin negara dan parti mendekati golongan muda dan jelaskan mengenai politik.

"Salah kita yang tak beri maklumat cukup. Kita asyik nak bercakap benda berkaitan bajet, duit, mesyuarat dan projek. Itu santapan fizikal, bagaimana pula santapan daya intelektual dan rohani," soalnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.