GERIK - Anak bekas Menteri Besar Perak, Datuk Wan Azizi Wan Mohamed menawarkan diri bertanding merebut jawatan Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan parti tahun ini.

Beliau anak Menteri Besar Perak ketujuh, Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh merasakan Umno kini harus diterajui kombinasi pemimpin lama dan muka baru demi masa depan parti itu.

Menurutnya, Umno perlu tampil lebih berani terutamanya dalam menangani pengurusan isu dan persepsi di mana parti gagal menangkis serangan sebegitu semasa PRU14.

“Meskipun keputusan PRU14 tidak memihak kepada Umno dan BN, namun parti perlu terus digerakkan dengan mengutamakan denyut nadi rakyat agar Umno kembali menjadi pilihan pada masa depan.

“Justeru, pemilihan kali ini menjadi perhatian semua pihak, menunggu untuk melihat tindakan Umno. Wujudkah perjuangan baru berkaitan politik bangsa Melayu dan Bumiputera atau kekal dengan tradisi lama.

“Umno perlu dilihat sebagai sebuah parti yang relevan kepada semua golongan khususnya anak muda. Kini tiba masanya Umno diterajui kombinasi pemimpin lama dan muka baru lebih segar, bertenaga,” katanya.

Tambah Bekas Ketua Pemuda Umno Gerik ini, pemerkasaan Umno perlu digerakkan di semua peringkat bermula peringkat cawangan, bahagian sebelum tumpuan beralih ke bahagian Pusat.

Tegasnya, seramai tiga juta ahli Umno perlu memahami sebaiknya falsafah serta perjuangan parti dan ideologi sebegitu perlu terus diterapkan dari semasa ke semasa.

“Keikhlasan untuk menabur bakti bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara hendaklah sentiasa menjadi intipati asas perjuangan ahli Umno.

“Selain itu, penglibatan orang Melayu dalam bidang sosioekonomi perlu dipertingkatkan bagi menggalakkan lebih ramai usahawan Melayu lebih berdaya saing dan berjaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Azizi berpendapat Umno perlu memantapkan media sosialnya terutamanya jika mahu berdepan cabaran politik yang semakin hebat pada masa depan.

Kerjaya politik Wan Azizi bermula pada 1992 apabila beliau dilantik Ahli Jawatankuasa dan Bendahari Umno Bahagian Gerik selepas menamatkan pengajian bidang perakaunan di luar negara.

Malah, beliau menjadi contoh kepada ahli Umno di Gerik kerana tidak pernah mensabotaj parti walaupun beberapa kali tidak dicalonkan dalam pilihan raya.