KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan mereka telah selesai menjalankan lanjutan prosiding bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah membabitkan tuntutan tunggakan bayaran cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion.

Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, selepas ini PAC akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, pihaknya sebelum ini telah memanggil Irwan bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan berhubung tuntutan wang GST berkenaan.

"Selepas Irwan tadi, kita panggil Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subramaniam Tholasy dan esok pula kita akan memanggil bekas perdana menteri (Najib).

"Selepas ini saksi terakhir yang akan dipanggil ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng," katanya selepas perjumpaan bersama Irwan di Bilik Mesyuarat di Parlimen, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, hari ini pihaknya menyambung lanjutan prosiding berkaitan tuntutan balik wang GST dengan pertemuan bersama Irwan.

Menurutnya, prosiding berkenaan seperti biasa adalah bagi mendapatkan laporan menyeluruh sebelum dibentangkan nanti.

"Kita harap kita dapat selesai rumusan berhubung tuntutan tunggakan bayaran GST ini sebelum Parlimen habis bersidang," katanya.