KUALA LUMPUR - Tempoh lelongan kapal kontroversi Equaminity yang berada di Langkawi kini, akan berakhir pada Ogos 2019.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin (PH-Sepang) berkata, untuk itu kerajaan telah melantik seorang agen broker dari Monaco dan penilai harga bagi proses lelongan kapal yang didakwa merupakan milik ahli Perniagaan Low Taek Jho.

Katanya, kapal yang ditahan atas waran mahkamah pada 24 Ogos lalu telah diperintahkan proses jualan melalui tender terbuka.

"Makanya kita melantik seorang agen broker dari Monaco dan penilai bagi menentukan harga semasa kapal tersebut," katanya dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Teh Kok Lim (PH-Taiping) yang bertanyakan status kapal mewah  tersebut.

Mengulangi semula jawapannya, Hanipa berkata nilai semasa harga kapal mewah itu tidak boleh didedahkan kepada umum selaras dengan arahan mahkamah  yang dikeluarkan pada 24 Ogos lepas.

Manakala menjawab soalan mengenai pendakwaan kapal tersebut, Hanipa berkata ia tertakluk di bawah bidang kuasa Peguam Negara.

Bagaimanapun beliau dalam Dewan Rakyat hari ini membuat seruan menggesa ahli perniagaan yang menjadi suspek utama kes  1MDB untuk kembali di Malaysia mempertahankan diri.

Katanya ia berdasarkan pendedahan media luar negara mendakwa ahli perniagaan itu membelanjakan RM4 juta yang dibayar kepada peguam untuk memulihkan semula imejnya.

"Tindakan boleh diambil kalau Jho Low balik, kalau yang nak bantu  tolong bawa balik Jho Low boleh berhubung dengan polis. Saya difahamkan beliau membelanjakan RM4 juta ringgit untuk menaikkan dan memulihkan imejnya.

"Kalau beliau sanggup membelanjakan wang banyak itu untuk bersihkan nama kalau Jho Low dengarlah pada hari ini, saya minta dia baliklah ke Malaysia."