PULAU LAYANG-LAYANG - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menaik taraf perkhidmatan serta infrastruktur selular dan internet di Pulau Layang-Layang, bagi memastikan pelancong dan petugas di sini, mampu menikmati perkhidmatan yang efisien.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, agensi di bawah kementerian itu akan melaksanakan penambahbaikan infrastruktur selular dan internet daripada 2G kepada 3G.

"Perkara ini (SKMM) akan perhati dan kaji dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan poskod khas serta peti pos dasar laut terdalam negara di Pulau Layang-Layang di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi SKMM, Datuk Seri Halim Shafie melihat pendekatan menambah baik infrastruktur dan perkhidmatan selular serta internet di pulau ini nanti akan membantu meningkatkan keupayaan jaringan dan liputan komunikasi.

“Ini sekali gus akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pelancong bahkan pegawai kerajaan daripada pelbagai agensi kerajaan yang berkhidmat di pulau yang terkenal sebagai destinasi menyelam terbaik dunia itu,” katanya.    

"Mereka mahu kesalinghubungan. Tetapi, difahamkan di sini cuma ada 2G sahaja. Jadi, kemudahan (capaian selular dan internet) itu tidak mencukupi," katanya.

Panglima Wilayah Laut 2, Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya, berkata, inisiatif menambah baik infrastruktur selular dan internet termasuk memberi poskod khas dan menempatkan peti pos di Pulau Layang-Layang bakal memberi perubahan dari segi hubungan komunikasi anggotanya yang berkhidmat di pulau ini.

"Dulu kita tiada peluang menyampaikan surat menyatakan keadaan di sini, jadi ini adalah perubahan yang mana anggota kita akan dapat berkomunikasi dengan luar, selain (perkhidmatan) jalur lebar lebih baik.

“Bagaimanapun, dengan perluasan perkhidmatan komunikasi itu, semua anggota harus lebih berwaspada terutama dari segi menjaga keselamatan kawasan kerana dijangka akan lebih ramai pengunjung datang ke pulau ini,” katanya.

Pulau Layang-Layang adalah sebuah pulau yang terletak 300 kilometer dari pantai Sabah dan mengambil masa kira-kira sejam perjalanan menggunakan kapal terbang dari Kota Kinabalu. - Bernama