SHAH ALAM – Lembaga Pengarah Tabung Haji perlu menilai semula keputusan pelaburan yang pernah dibuat oleh Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, Adi Azuan sebelum ini pernah menjadi lembaga pengarah di Theta Edge Berhad yang menyaksikan pelaburan Tabung Haji di dalam syarikat tersebut mengalami kerugian besar.

“Oleh itu, saya mendesak Pengarah Urusan Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim siasat semua keputusan pelaburan pernah dicadangkan dan dibawa oleh Adi Azuan kepada Panel Pelaburan dan Lembaga Pengarah Tabung Haji.

“Ini bagi memastikan semua pelaburan Tabung Haji adalah berisiko rendah dan menguntungkan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut mencadangkan semua keputusan pelaburan Tabung Haji sejak 2000 diaudit sebuah pasukan bebas oleh kerajaan.

“Ini untuk memastikan tidak ada unsur kecuaian, salah guna kuasa atau tindakan yang membolehkan pengurusan kanannya mendapat laba daripada keputusan mereka,” katanya.

Menurut Rafizi, sebagai ahli parlimen dan pemimpin kanan parti pembangkang, beliau meletakkan satu piawaian terhadap prestasi pelaburan Tabung Haji.

“Ia mestilah sama baik atau lebih baik daripada syarikat-syarikat pelaburan komersil lain. Ini kerana Tabung Haji bukan mendapat monopoli dari segi simpanan deposit bakal jemaah haji yang wajib disimpan di Tabung Haji sahaja.

“Malah, ia juga dapat banyak kemudahan dan keistimewaan lain daripada kerajaan. Apabila pelaburan di dalam syarikat-syarikat tertentu melibatkan ratusan juta wang pendeposit Tabung Haji hangus begitu sahaja, saya telah menyiasat siapakah individu-individu yang menjadi wakil kepada Tabung Haji itu,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PAPAR - "Kerajaan akan menanggung kos subsidi jemaah haji sebanyak RM230 juta pada tahun ini bagi memastikan bayaran haji bagi setiap jemaah Malaysia kekal RM9,980 seorang," kata Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
  • KOTA BHARU - Bakal jemaah diingatkan sentiasa mematuhi arahan petugas Lembaga Tabung Haji, bagi tujuan menjaga keselamatan mereka ketika krisis diplomatik berlaku antara Asia Barat dan Qatar ketika ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.