PETALING JAYA - Peguam terkemuka, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah pernah menyuarakan hasrat untuk menjadi Peguam Negara dan menerajui pendakwaan kes liwat 2.0 membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Muhammad Shafee ada berjumpa dengannya dan memberitahu Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak mampu melakukan pendakwaan terhadap Anwar.

Menurutnya, Shafee yakin boleh memenangi pendakwaan kes berkenaan.

“Shafee nak sangat menjadi Peguam Negara, beliau datang jumpa saya dan memberitahu Peguam Negara ketika itu tidak boleh melakukan pendakwaan terhadap kes Anwar.

“Beliau yakin boleh menang. Saya kata, kalau yakin boleh menang, pergi beritahu Datuk Seri, Najib Razak. Masa itu, saya masih berkawan baik dengan Najib,” katanya semasa sidang media Bersatu di Menara Yayasan Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Muhammad Shafee bahawa Dr Mahathir yang mengarahkannya supaya mengetuai pendakwaan terhadap Anwar dalam kes liwat 2.0.

Dr Mahathir turut memberikan sindiran kepada Shafee kononnya beliau amat menyayangi peguam berkenaan.

“Berdasarkan dia (Muhammad Shafee), saya sayang beliau sangat, kalau tidak dijadikan Peguam Negara, saya akan menentang Najib. Kali ini, saya menentang Najib sebab balas dendam,” katanya.

Muhammad Shafee sebelum ini mendakwa Dr Mahathir yang mahukannya untuk mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Anwar kerana tidak yakin terhadap kemampuan Peguam Negara ketika itu.