Dasar Pengurusan Bencana akan disemak semula - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berucap pada Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Monsun Timur Laut 2023/2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) pada Selasa. Foto Bernama
Ahmad Zahid berucap pada Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Monsun Timur Laut 2023/2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dasar Pengurusan Bencana Negara akan disemak semula bagi meningkatkan daya tahan serta mengukuhkan kesiapsiagaan dan keupayaan negara dalam menguruskan bencana dengan lebih baik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri bagi semakan semula dasar itu, yang sekali gus dapat memastikan ancaman bencana negara berada pada tahap minimum.

"Sebagai usaha permulaan terhadap hasrat itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang di peringkat akhir proses semakan semula Arahan MKN No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara agar selari dengan keperluan dan evolusi pengurusan bencana yang semakin kompleks.

"Pindaan Arahan MKN No. 20 dijangka memantapkan lagi pengurusan, lebih-lebih lagi ia merupakan dokumen rujukan utama dalam koordinasi dan mekanisme pengurusan bencana negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Monsun Timur Laut 2023/2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM5 juta yang disediakan kerajaan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

Beliau berkata, ia bagi pelaksanaan program serta latihan kesiapsiagaan dan kesedaran komuniti untuk menghadapi bencana termasuk program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) dan untuk digunakan oleh agensi dan badan bukan kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana.

Secara keseluruhannya, Ahmad Zahid berkata sepanjang musim MTL lepas, sebanyak 27,505 keluarga dan 92,534 mangsa telah ditempatkan di 751 pusat pemindahan sementara (PPS).

Artikel Berkaitan:

Katanya, jumlah mangsa juga adalah jauh lebih rendah berbanding 2022 iaitu 251,799 mangsa yang dipindahkan.

Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, agensi tindak balas, agensi teknikal, syarikat telekomunikasi, badan bukan kerajaan dan pihak media yang terlibat sepanjang musim MTL 2023/2024.

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak yang terlibat termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Nur-ul Afida Kamaludin. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!