Jemaah haji boleh bayar dam dan korban melalui aplikasi THiJARI

TH meneruskan perkhidmatan bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI untuk musim haji tahun ini.
TH meneruskan perkhidmatan bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI untuk musim haji tahun ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan perkhidmatan bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI untuk musim haji tahun ini seperti tahun-tahun sebelum ini bagi memudahkan bakal jemaah haji melunaskan tanggungjawab mereka.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab memaklumkan bakal haji bagi musim 1445H/2024 boleh membuat pembayaran dam sebelum ke Makkah.

Beliau berkata kaedah pembayaran secara atas talian ketika di tanah air pasti dapat membantu menyenangkan lagi bakal haji berbanding ketika tiba di Makkah.

"Bertepatan dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, bakal haji tahun ini yang akan melaksanakan ibadah haji secara Tamattu’ dan Qiran digalakkan untuk melaksanakan bayaran dam pada kadar semasa yang ditentukan sebelum sampai di tanah suci kerana ia lebih mudah.

"Sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan haji yang menyeluruh, tahun ini TH terus menyediakan kemudahan perkhidmatan bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI dan juga melalui kaunter pejabat cawangan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohamed Ameen turut mengingatkan kepada semua bakal haji supaya berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran dam yang mencurigakan daripada agensi pelancongan ataupun mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.

"TH bertanggungjawab mengingatkan kepada para pendeposit terutamanya bakal haji untuk menyemak dan memeriksa terlebih dahulu sebarang syarikat penyedia perkhidmatan korban atau dam secara teliti bagi mengelakkan terpedaya dengan taktik scammer.

"Sekiranya bakal-bakal haji ingin laksanakan korban atau dam dengan sendiri, dinasihatkan supaya memastikan syarikat yang menawarkan perkhidmatan berkenaan berdaftar secara sah dan mempunyai pengalaman serta rekod pengurusan pelaksanaan dam dan korban yang baik di tanah suci,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pembayaran dam tahun ini ditetapkan pada kadar RM725 bagi seekor kambing atau kibas dan daging sembelihan ini akan diagihkan kepada penduduk yang layak di Makkah.

Kadar pembayaran korban pula ditetapkan pada RM936 untuk seekor kambing atau kibas dan urusan pengagihan akan dilaksanakan oleh Islamic Development Bank (IDB) kepada penduduk Islam yang layak terutamanya di rantau negara Teluk dan benua Afrika.

Tawaran pelaksanaan korban ini turut dibuka kepada semua pendeposit TH dan pembayaran boleh dilaksanakan melalui aplikasi THiJARI bermula Isnin, 29 April 2024 ataupun secara bersemuka melalui pembayaran di mana-mana kaunter pejabat cawangan TH di seluruh negara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!