SHAH ALAM - Sudah tiba masanya sekolah-sekolah tahfiz di negara ini mendapat hak dan peruntukan yang sama seperti sekolah kebangsaan dan vernakular di negara ini bagi menjamin keselamatan pelajarnya.

Yang Dipertua Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama), Datuk As'ari Ibrahim berkata, pihak berkaitan perlu melihat apa yang perlu dibuat dengan lebih gigih supaya dapat membantu menjaga aset negara ini.

Menurutnya, pihaknya mendesak semua agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan-Jabatan Agama dan majlis perbandaran seluruh negara supaya membuat pemeriksaan dan pertauliahan untuk beroperasi ke atas semua maahad tahfiz dan madrasah.

"Kami menyokong arahan yang dikeluarkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung pemeriksaan yang perlu dilakukan oleh semua pegawai di kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas semua pusat tahfiz di ibu negara dan Putrajaya.

"Mana-mana maahad tahfiz yang tidak menepati syarat wajib ditetapkan hendaklah dilarang daripada beroperasi sehingga bantuan diberi untuk melengkapkan keperluan infrastruktur semua maahad tahfiz dan madrasah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Pertama memandangkan serius insiden kebakaran di penempatan sekolah-sekolah tahfiz kerana ini bukan insiden pertama.

"Sekolah-sekolah tahfiz menempatkan satu aset negara yang sangat penting dan perlu diberi peruntukan serta perhatian oleh semua agensi kerajaan seluruh negara untuk memastikan perkara sedemikian tidak berulang.

"Biarlah insiden kebakaran yang berlaku pada hari ini menjadi sempadan untuk masyarakat kita dan marilah kita berdoa supaya ALLAH SWT memberi kita kekuatan dan iltizam untuk memastikan semua usaha dibuat supaya perkara seperti ini tidak berulang lagi," katanya.

As'ari berkata, biarpun tidak menafikan takdir, pihaknya berasakan usaha gigih perlu dilaksanakan.

Dalam pada itu katanya, Pertama akan mengkaji kewajaran bagi mengadakan kursus pengurusan untuk semua mudir-mudir pusat tahfiz dan madrasah di seluruh negara untuk mendedahkan mereka kepada pengurusan pusat secara profesional.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.