KEPERCAYAAN masyarakat terhadap sesuatu produk terutama membabitkan herba dan kaedah tradisional adalah faktor utama produk tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) masih tinggi di pasaran. Mereka masih terus menggunkan produk ini walaupun tahu status dan risikonya terhadap kesihatan.

Selain itu, kempen kesedaran yang dilaksanakan KKM mengenai bahan terlarang dalam produk berasaskan herba serta kaedah tradisional yang tidak mendapat kelulusan dilihat kurang memberi impak besar terhadap pengguna tegar.

Rampasan produk berkenaan juga bukan suatu perkara yang membimbangkan golongan ini.

 Kenapa pengguna terus menggunakan produk tanpa kelulusan pihak berwajib? Adakah kerana mereka percayakan hasilnya atau memang pengasasnya sudah dikenali sejak turun temurun?

Pengasas Jamu Susuk Dara (JSD Holding Sdn Bhd), Datuk Seri Hanni Borhan menjelaskan, masih ramai pengguna di luar sana menggunakan produk tanpa kelulusan KKM kerana lebih percayakan jamu tradisional berbanding ubat-ubatan moden.

Katanya, jamu-jamu tradisional ini diyakini ramai kerana menggunakan bahan semulajadi terutama untuk jamu bersalin, jamu perapat dan jamu wanita.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lambakan jamu di pasaran membimbangkan]

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Wanita berkahwin perlukan jamu’]

 

Menurutnya, perkara yang menjadi masalah apabila terdapat pengeluar produk terutama dari luar negara yang mencampurkan jamu mereka dengan bahan terlarang mengakibatkan kulit dan kesihatan pengguna terjejas.

“Ramai pelanggan saya sanggup membayar wang pendahuluan walaupun sudah dimaklumkan produk saya habis dijual. Mereka percayakan produk saya kerana produk berkesan dan menggunakan bahan semulajadi.

“Sebagai contoh, saya selalu amalkan minum kunyit dan asam, yang itu pun ramai yang mahu saya jual tapi saya tolak secara baik. Apa yang saya buat saya letakkan ramuan di laman sosial saya. Mula dari itu ada yang ambil dan mereka pula yang jual,” katanya.

Ditanya mengenai pengguna setia produknya, Hanni berkata penggunanya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk ramai golongan profesional terutama jururawat.

“Saya ada seorang pelanggan dari Bangkok, Thailand yang juga seorang doktor. Dia mempercayai produk saya dan mahu meletakkannya di klinik,” katanya.

Bagaimanapun, Hanni berkata beliau perlu membuat kajian mengenai perkara itu.

Hanni yang telah mengasaskan produk JSD sejak 2010 turut mengakui beliau memulakan perniagaan jamunya tanpa kelulusan KKM pada waktu itu kerana menganggap peniagaan jamunya hanya secara kecil-kecilan dan berpusat di kampung.

Namun, tidak disangka perniagaan jamunya mendapat permintaan tinggi dan mula terkenal di seluruh negara kerana kesannya yang diyakini pengguna.

“Saya asalnya berniaga untuk membantu orang sebab perniagaan jamu ini adalah legasi keturunan saya. Nenek, ayah dan saya semuanya jual jamu. Jika orang datang ke kampung mesti mahu cari jamu dari keluarga saya,” katanya.

Ditanya kenapa beliau tidak mendaftarkan terus produknya di KKM ketika memulakan perniagaan, Hanni menjelaskan beliau bukannya tidak mahu mendaftar namun beliau pernah ditipu ejen yang kononnya akan menguruskan segala urusan pendaftaran kelulusan tersebut.

“Atas sebab itu produk saya telah dirampas KKM dan saya amat berhati-hati selepas ini. Kita perlu mengikut undang-undang,” katanya.

Ditanya apakah nasihatnya kepada pengguna jamu, Hanni menegaskan pengguna haruslah terlebih dahulu mengkaji latar belakang pengasas produk tersebut dan rekod keluarga dan perniagaan mereka.

“Pengguna perlu kaji dahulu, tetapi yang paling penting adalah kelulusan dari KKM. Barulah produk tersebut diyakini walaupun pengasasnya mendakwa menggunakan bahan semulajadi.

“Selain itu, kepada pengasas yang masih belum dapat kelulusan dari KKM, jangan terlalu berani, kalau kena tindakan susah nak bangun balik. Ikutlah undang-undang kerana mahu kelulusan tidak susahpun,” tegasnya.

JSD diserang netizen Facebook

Menceritakan semula pengalamannya berhadapan ramai netizen di Facebook yang 'menyerang' produknya, Hanni bersyukur kerana kritikan dan tular produknya di media sosial membuatkan rezekinya bertambah.

“Saya pada mulanya sedih apabila ada yang serang saya di laman sosial, saya fikir mesti jualan produk JSD akan berkurang, namun Alhamdulillah sebaliknya. Bila tengok rekod balik, sejak saya diserang pada 2015, jualan saya makin meningkat.

“Mungkin kerana orang ramai mahu tahu produk apakah ini, jadi mereka mencubanya. Sama juga contoh seperti Sajat, lebih ramai orang serang dia, lebih banyak rezeki dia dapat,” katanya.