SHAH ALAM - “Almarhum Raja Abdullah (baginda) berjanji untuk sedia dana kepada saya dan parti,” kongsi Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman sosial Facebook miliknya mengenai sumbangan  diterimanya dari Arab Saudi sejak 2011.

Najib berkata, sebagaimana pemberian hadiah tidak bernilai, kelambu Kaabah (kain kiswah Kaabah) dan tambahan kuota haji 20,000 daripada baginda pada tahun 2010, baginda meminta agar sumbangan berkenaan tidak diwarwarkan.

Malah menurutnya, baginda juga bersetuju membantu Umno dengan pembiayaan.

“Baginda sangat bimbang ketika itu dan bertindak membiayai pemimpin dan kerajaan negara Islam dengan sejumlah wang yang banyak bagi mengekalkan kestabilan.

“Pada masa itu, harga minyak paling tinggi dan Arab Saudi memperoleh pendapatan yang banyak hasil darinya,” katanya.

Najib berkata, baginda juga mempunyai kebimbangan sama selepas mendapat tahu kemungkinan berlaku 'Malaysia Spring' pada ketika itu kerana Malaysia juga negara Islam biarpun bukan berada di Timur Tengah atau Afrika.

Menurutnya, lantaran kebimbangan dan hubungan akrab berkenaan, pada awal 2011, baginda berjanji untuk turut menyediakan dana kepadanya dan parti bagi kegunaan di Malaysia.

“Seperti kain kiswah dan kuota haji tambahan, sumbangan ini juga tidak mahu dihebahkan. Terdapat beberapa orang saksi pada masa itu ketika janji ini disampaikan.

”Saya kemudian dapati jumlah pembiayaan yang dijanjikan untuk beberapa tahun itu adalah lebih rendah daripada negara jiran Arab Saudi yang terjejas teruk daripada Arab Spring,” katanya.

Najib berkata, memandangkan dia bukan lagi Perdana Menteri dan Raja Abdullah telah mangkat, beliau mengambil keputusan mendedahkan dokumen berikut bagi membersihkan namanya.

“Saya rasa adalah bersesuaian untuk saya dedahkan dokumen berikut bagi membersihkan nama saya dari pelbagai tuduhan dan fitnah.

“Saya bersama peguam mengambil masa yang agak lama untuk memperolehi dokumen ini daripada bank namun kami berjaya mendapatkan sebahagian besar darinya.

“Dokumen berikut adalah bagi sumbangan tahun 2011 sahaja. Pihak berkuasa dan bank ada dokumen yang sama,” katanya.

Menurut Najib, pada 1 Februari 2011, Putera Abdulaziz Al-Saud menulis kepadanya, memberitahu bahawa Arab Saudi akan menyediakan AS$100 juta (RM415 juta) kepadanya bagi tahun 2011.

“Dokumen pemindahan wang SWIFT bagi tahun 2011 menunjukkan yang AS$20 juta dipindahkan daripada akaun Putera Faisal bin Turkey bin Al Saud dan US$80 juta dipindahkan daripada akaun Kementerian Kewangan Arab Saudi kepada saya.

“Sebahagian besar dana yang saya terima digunakan bagi tujuan politik BN. Sebagai contoh, saya telah berikan dana ini kepada Umno Johor bagi membeli beberapa van,” katanya.

Bagaimanapun malangnya menurut Najib, kerajaan PH baru-baru ini telah menyita van-van berkenaan.

“Surat bertarikh 1 Februari 2011 ini adalah surat pertama daripada beberapa surat daripada putera yang sama dihantar kepada saya bersama sumbangan tahun-tahun kemudian,” katanya.

“Salinan surat-surat ini turut dilampirkan bersama dana yang dipindahkan ke akaun saya di Ambank bagi tempoh beberapa tahun. Sama ada Bank Negara Malaysia (BNM) mahupun bank berkenaan tidak pernah mempersoal atau menyatakan kebimbangan terhadap sumbangan ini, kerana ia turut dilampirkan dengan surat pengesahan.

Menurut Najib, atas sebab itu, Kementerian Luar Arab Saudi sudah dua kali mengesahkan secara terbuka bahawa kerajaan mereka memberi sumbangan kepadanya tanpa sebarang syarat terhadapnya.

“Kira-kira dua bulan lalu, Tun Mahathir kecewa apabila Arab Saudi enggan menafikan bahawa RM2.6 bilion adalah sumbangan kepada saya. Sebulan kemudian, kerajaan PH menutup Pusat Keamanan Raja Salman di Kuala Lumpur,” katanya.

Najib turut menegaskan beliau akan dapat menjelaskan dengan lebih terperinci sambil menunjukkan bukti dan dia juga akan menjelaskan mengenai sumbangan yang diterimanya bagi tahun-tahun selepas 2011, termasuk isu RM2.6 billion.