• Qari Malaysia johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa Johan Qari dari Malaysia, Muhammad Anuar Ghazali (kiri), 36, dan Johan Qariah dari Maghrib, Hasnae Khoulali pada Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa Ke-54.
1 /

KUALA LUMPUR - Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengukir sejarah kepada peserta Malaysia Muhammad Anuar Ghazali, 36, apabila dinobatkan sebagai juara kategori qari (lelaki).  

Anuar, yang berasal dari Kelantan dan memperdengarkan bacaaan Surah al-Hud, memperoleh markah 95.33 peratus. Naib johan disandang qari Iran Amin Pouya dengan 91.67 peratus manakala tempat ketiga milik Indonesia menerusi Raden Harmoko Baharudin (90.16 peratus).  

Bagi kategori qariah (wanita), peserta Maghribi Hasnae Khoulali, 19, yang memperdengarkan bacaan Surah al-Israk, memperoleh 94 peratus, sama seperti
markah yang diperoleh naib johan dan pemenang ketiga.

Hasnae menewaskan qariah Indonesia Rahmawati Bakri Hunawa dan qariah Malaysia Che Aminah Che Awang menerusi cara bacaan, tajwid, kefasihan serta suara dalam menentukan perkiraan markah mereka.

Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori membawa pulang wang tunai RM40,000 serta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke majlis itu. 

Naib johan pula membawa pulang wang tunai RM30,000 serta cenderamata dan sijil penyertaan manakala pemenang tempat ketiga menerima RM20,000, cenderamata serta sijil penyertaan.

Seramai 62 peserta tilawah kali ini menerima hadiah sagu hati wang tunai RM3,000 setiap seorang, cenderamata serta sijil penyertaan.   

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.  

Sementara itu, Anuar ketika ditemu bual melahirkan rasa syukur kerana penyertaan kali pertama di majlis tilawah amat bermakna apabila dinobatkan
sebagai juara.

"Saya amat cintakan ayat-ayat suci al-Quran sejak di tingkatan satu dan mengamalkan bacaan setiap hari dengan berjaga malam untuk mempraktikkan bacaan saya. Saya rasa tidak lengkap sekiranya satu hari tidak membaca al-Quran yang saya jadikan sebagai aktiviti harian," kata bapa kepada tiga anak dan guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Cochrane ini.

Hasnae pula berkata beliau, yang pertama kali menjejak kaki ke negara ini, berasa sangat teruja serta berterima kasih kepada semua pihak yang banyak
memberi sokongan serta dorongan kepadanya.

"Semua ini ketentuan ALLAH serta berkat doa keluarga dan diri sendiri," kata pelajar tahun keempat Universiti Muhammad V jurusan pengajian Islam menerusi
penterjemah.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 bertema 'Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah' yang berlangsung selama lapan malam mulai 6 Julai lepas, disertai 72 qari (44) dan qariah (27) dari 44 negara antaranya, Thailand, Brunei, Bosnia Herzegovina, Filipina serta Algeria.  

Jemaah hakim kali ini berpendapat setiap peserta telah memperdengarkan bacaan yang bagus dengan memelihara hukum tajwid.   

Majlis tahun ini menyaksikan penyertaan kali pertama tiga negara iaitu Belgium, Ghana dan Tanzania. - Bernama