KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan segala input yang diterimanya berkaitan isu bayaran semula pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dipertimbangkan namun bergantung kepada keadaan ekonomi negara.

Katanya, ini kerana beliau konsisten dalam memastikan manifesto PH berkaitan pinjaman PTPTN tercapai.

“Insyaallah segala input yang diberikan oleh mana-mana pihak berkaitan isu PTPTN ini akan kita berikan pertimbangan mengikut kepada keadaan ekonomi negara.

“Saya konsisten dengan manifesto PH berkenaan PTPTN dan kita akan usahakan yang sebaik mungkin,” katanya melalui kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Pegawai Khasnya, Abdul Hannaan Khairy menjadi wakilnya yang menerima Memorandum Isu PTPTN daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) di Jalan Utama Parlimen, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: PTPTN: 'Kerajaan sekarang lebih kejam' ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2019: Potongan gaji galak bayaran balik PTPTN ]

Sebelum itu, seramai 20 orang ahli Gamis menyatakan protes dengan berjalan kaki sejauh 9 kilometer bermula dari Universiti Malaya (UM) ke bangunan Parlimen.

Presiden Gamis, Muhammad Faizuddin Mohd Zai berkata pihaknya mengambil langkah tersebut berikutan kerajaan PH pada masa kini cuba mengambil kesempatan terhadap anak muda dengan mengetatkan lagi proses pembayaran balik pinjaman tersebut.

Menerusi Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memaklumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan pembayaran balik PTPTN dengan cara potongan gaji berjadual antara dua peratus hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam, bergantung kepada paras pendapatan mereka.

Jadual pembayaran balik ini hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Menerusi manifesto PH sempena PRU14 lalu, parti gabungan Bersatu, PKR, DAP dan Amanah itu bercadang menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang RM4,000 sebulan.