PUTRAJAYA - Peniaga di seluruh negara dikehendaki menyalurkan penjimatan daripada penetapan kadar GST standard enam peratus kepada kadar sifar mulai 1 Jun ini dalam bentuk harga yang lebih rendah kepada pengguna.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, peniaga juga diseru untuk tidak mengeksploitasi hasrat kerajaan menurunkan harga barangan dan seterusnya memberi manfaat kepada pengguna.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) pada 1 Jun ini dan akan mengumumkan tarikh pelaksanaannya kemudian.

"Oleh itu, semua peniaga hendaklah melaksanakan penurunan harga barang dan perkhidmatan berikutan cukai barang dan perkhidmatan yang dikenakan pada kadar enam peratus akan disifarkan mulai 1 Jun ini," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengumumkan bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di dalam Malaysia serta barang dan perkhidmatan yang diimport akan dikenakan GST pada kadar sifar, berkuat kuasa mulai 1 Jun ini.

Subromaniam berkata, semua peniaga yang berdaftar GST perlu mematuhi penetapan pengenaan kadar sifar tersebut.

Katanya kerajaan akan mengambil langkah-langkah tegas bagi memastikan harga barang dan perkhidmatan yang ditetapkan adalah mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Peniaga boleh merujuk soalan lazim berkaitan tempoh peralihan enam peratus kepada kadar sifar yang telah dimuat naik dalam laman web www.customs.gov.my dan portal gst.customs.gov.my.