PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung perjanjian pelaburan berjumlah RM100 bilion di Amerika Syarikat.

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok menyoal adakah pembelian dan pelaburan ini membantu meningkatkan keadaan ekonomi semasa yang lemah di Malaysia, atau adakah mereka mengadakan pertukaran pelaburan yang lebih besar dari Amerika Syarikat?

"Janji Najib kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump itu dibuat dalam keadaan negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan, malah berhadapan dengan masalah kewangan," kata Ahli Parlimen Seputeh itu seperti disiarkan dalam Sin Chew Daily.

Dalam pertemuan dengan presiden Amerika Syarikat itu, Najib berjanji kerajaan Malaysia akan membeli 25 pesawat Boeing 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan kemungkinan besar akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat.

“MAS masih bergelut untuk pulih daripada kesan hutang dan defisitnya sehingga menyebabkan ramai kakitangan diberhentikan dan asetnya dijual. Adakah MAS juga akan jadi sebahagian pembelian 25 pesawat Boeing itu?," soalnya.

Malah, kata Teresa, perdana menteri turut menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM16.8 bilion untuk melabur dalam pembinaan semula prasarana di Amerika Syarikat?

"Apakah pelaburan itu akan benar-benar membawa keuntungan kepada penyimpan KWSP?," soalnya lagi.