KUALA LANGAT - Kenyataan pemimpin nombor satu Putrajaya yang melabelkan Selangor sebagai negeri ‘darul sampah’ dianggap menghina kedaulatan negeri itu.

Menteri Besar (kerajaan sementara), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu juga adalah tidak bertanggungjawab dan biadab.

“Saya kesal dan kecewa, pemimpin ini turun ke Kajang menyinggung rakyat Selangor dengan menyatakan Selangor bukan lagi Darul Ehsan tetapi 'darul sampah'.

“Kenyataan ini tidak bertanggungjawab dan biadab serta menghina kedaulatan negeri dan rakyat Selangor yang mahukan keamanan,” katanya sempena Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Penyerahan Lori Arm Roll, semalam.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan negeri akan membuktikan kenyataan Najib itu tidak berasas menerusi peranan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) yang menggalas tanggungjawab melancarkan kutipan sampah di negeri ini  seterusnya menjadikan Selangor negeri paling bersih.

“KDEBWM membantu menguruskan sisa pepejal di Selangor. Saya berharap usaha ini didukung semua pihak.

“Selangor membangun sebagai negeri industri tanpa mengecualikan elemen kesejahteraan dan kebersihan,” katanya.