KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan menafikan akan ada 'pembersihan' dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, setakat ini kementeriannya sama sekali tidak menjalankan sebarang agenda berkenaan.

“Tak ada bersih apa-apa, kalau ada penyelewengan kerja ia di bawah Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Tan Sri Ambrin Buang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Ambrin akan ditugaskan bagi meneliti dan menyiasat isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara.

Hari ini, laporan FMT yang memetik sumber berkata, kerajaan kini menyasarkan LTAT yang menguruskan kutipan wang daripada tentera. Ia meraih keuntungan sebanyak RM667 juta tahun lalu.

Katanya, Ketua Eksekutif LTAT, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan beberapa leftenannya mungkin menjadi sasaran kerajaan.

Sumber itu berkata, Lodin setakat ini berjaya mengelak daripada cubaan menyingkirkannya daripada LTAT.