KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam akan memfailkan saman terhadap Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dalam masa terdekat.

Ia susulan kekecohan yang berlaku dalam perhimpunan aman Pengebumian Institusi Peguam Negara di sini, baru-baru ini yang turut dikaitkan dengan pegawai polis berkenaan.

Menurutnya, beliau sudah membuat laporan polis dan membawa perkara tersebut kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

“Saya tak rasa polis akan tunduk dengan desakan (menukarkan pegawai polis tersebu) para pendemonstrat. Apa yang kita dah buat? Kita dah buat laporan polis.

“Kita dah buat laporan kepada Suhakam, kita akan pergi kepada Jawatankuasa Tatatertib dan kemudian kita akan saman.

“Saya secara peribadi sudah upah peguam dan kita akan mula failkan saman dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Himpunan Bantah SST (cukai jualan dan perkhidmatan), di sini, tengahari tadi.

Katanya, beliau sudah beberapa kali berhimpun sebelum ini ketika zaman pemerintahan BN dan tiada masalah berlaku pada waktu itu.

Menurutnya, perhimpunan Bersih sebelum ini yang disertai puluhan ribu orang tidak ‘dikacau’ maka beliau berharap kerajaan pimpinan PH juga berbuat demikian.

“Selama ini Bersih berpuluh ribu tiada masalah, kita tak pernah kacau dan saya harap kerajaan zaman PH tidak kacau orang berdemonstrasi.

“Zaman BN dulu tak kacau, maksud saya zaman Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi).

“Zaman Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) jangan cakap, kami dah puas kena pukul, kena sembur dengan gas pemedih mata. Kalau benarkan kita protes, sekurang-kurangnya ada juga check and balance,” ujarnya.

Himpunan Bantah SST yang bermula pada jam 12 tengahari tadi berjalan lancar tanpa sebarang provokasi atau insiden tidak diingini berlaku.

Beberapa anggota polis turut berada berhampiran lokasi himpunan bagi mengawal keadaan dan mengelak perkara buruk berlaku.