KUALA LUMPUR - Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan,  Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa 31 Julai ini.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, peletakan jawatan dua hakim kanan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 8 Jun lepas.

Katanya, Raus dan Zulkefli menyatakan hasrat mereka untuk letak jawatan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 15 Mei lalu.

"Bagaimanapun, Yang Amat Arif-Yang Amat Arif telah memaklumkan kepada perdana menteri bahawa peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada tarikh yang munasabah untuk membolehkan segala urusan kehakiman diselesaikan," katanya.

Perletakan jawatan Raus dan Zulkefli ini menamatkan kontroversi yang timbul selepas lantikan mereka dilanjutkan tempoh melewati umur persaraan wajib 66 tahun dan enam bulan yang dibuat semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.