KUALA LUMPUR - Kementerian  Sumber Manusia masih menunggu laporan interim daripada pasukan petugas yang telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan penyelewengan dana Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata kementerian berharap laporan itu dapat disiapkan dalam tempoh 30 hari supaya laporan susulan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dana tabung berkenaan sebanyak RM300 juta itu dapat dimulakan.

“Pasukan petugas kini sedang menyiapkan laporan siasatannya terhadap beberapa kontrak pemerolehan dan pemberian kontrak oleh HRDF.

“Berilah ruang kepada mereka untuk menjalankan tugas,” kata Kula Segaran kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya HRDF di Wisma HRDF, di sini hari ini.

Sebuah jawatankuasa bebas terdiri daripada lima anggota ditubuhkan pada Mesyuarat Agung Tahunan HRDF baru-baru ini untuk mengkaji semula  dana HRDF yang didakwa telah diselewengkan.

Sebelum ini, Kula Segaran berkata jawatankuasa  berkenaan telah diberi mandat untuk membantu anggota Lembaga Pengarah HRDF mengkaji semula segala aspek kerangka tadbir urusnya untuk memastikan kesemuanya berfungsi dengan lancar dan berkesan.

Sementara itu, bukti-bukti berkaitan dakwaan penyelewengan dana milik HRDF telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatannya.

Ketua Pegawai Eksekutif  SG Education Group Datuk Sri Ganes dipetik sebagai berkata satu penyiasatan perlu diadakan untuk mengenal pasti pihak-pihak yang didakwa terbabit dalam penyelewengan dana tersebut.

HRDF adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang menguruskan dana latihan untuk pembangunan sumber manusia.

Seramai 85 orang anak yatim dan kurang bernasib baik dari Rumah Perlindungan Al-Nasuha di Batu Caves diraikan pada majlis rumah terbuka itu. - Bernama