KUALA LUMPUR - Harga jualan runcit semua rokok akan dinaikkan dalam tempoh tiga minggu, selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, harga produk tembakau termasuk rokok perlu dinaikkan apabila terdapat mana-mana cukai dinaikkan berdasarkan Peraturan 8A Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Katanya, Kementerian Kesihatan kini sedang menyelaraskan kelulusan harga rokok terkini.

"Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) baru-baru ini akan menyebabkan harga bagi semua jenis produk tembakau termasuk rokok kena dinaikkan.

"Atas sebab itu, di bawah Peraturan A harga perlu dinaikkan daripada harga yang terikat ketika ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengisytiharkan semua restoran termasuk gerai dan warung di tepi jalan  di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Januari 2019.