SHAH ALAM - Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang menghalang Ketua Menterinya, Lim Guan Eng daripada melawat sekolah Cina di Sungai Lembu, Bukit Mertajam, bertujuan menghalang beliau menggunakan sekolah untuk mengutuk kerajaan pusat.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon seperti dipetik dalam China Press.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng yang menuduh Kementerian Pendidikan mempersendakan demokrasi setelah beliau dihalang mengadakan lawatan di sekolah itu baru-baru ini.

Menurut Sin Woon, menteri pendidikan mempunyai kuasa sama ada membenarkan Guan Eng mengadakan lawatan ke sekolah Cina atau tidak.

"Bagaimanapun, saya tidak pernah meminta Guan Eng mengirim surat kepada jabatan pendidikan negeri untuk membuat permohonan supaya membenarkan beliau mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan," kata Sin Woon.

Sebelum itu, menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, beliau sepatutnya mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada sekolah rendah Cina tersebut.

Beliau juga mendakwa telah memaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara itu kepada pihak kementerian.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mempersoalkan kenapa Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaid Mohd Said dibenarkan melawat sekolah berkenaan tanpa perlu melalui karenah birokrasi.

Melalui sepucuk surat yang dikirim Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Shaari Osman pada 6 September lalu, memaklumkan bahawa Guan Eng tidak dibenarkan melawat sekolah berkenaan.

Sin Woon menjelaskan, punca kemungkinan Guan Eng tidak diberikan kebenaran disebabkan beliau kerap mengeluarkan dakwaan tidak berasas dan kenyataan berbau politik.

"Guan Eng juga sering mencari kesempatan menuduh kerajaan pusat apabila Kerajaan Pulau Pinang memberikan sumbangan kepada sekolah di negeri itu," kata Sin Woon yang juga Ketua Pemuda MCA.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Beberapa agensi pelancongan menerima banyak permohonan daripada pelanggan untuk membatalkan lawatan ke Jiuzhaigou, Sichuan selepas berlakunya gempa bumi kuat berukuran magnitud 7 di kawasan itu beberapa hari lalu.
  • SHAH ALAM - Masih ramai peniaga atas talian menjalankan urusan perniagaan dengan menggunakan akronim 'PM' walaupun telah diberi amaran oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), kelmarin.
  • SHAH ALAM - Jumlah pelajar Cina yang mengikuti pendidikan di sekolah rendah Cina menunjukkan penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.