KUALA LUMPUR – Pengerusi SCS Global Advisory (M) Sdn Bhd, Datuk Maznah Abdul Jalil; Ketua Pegawai Pelaburan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dr Suzana Idayu Wati Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Development Sdn Bhd, Mohd Salem Kailany, dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felcra Berhad yang baharu berkuatkuasa 13 November 2018.

Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Nageeb Wahab, berkata pelantikan ahli teknokrat yang berwibawa ini diharap dapat memajukan Felcra Berhad dengan lebih cemerlang.

“Buat pertama kalinya, komposisi Lembaga Pengarah kali ini membabitkan 50 peratus penyertaan wanita. Senario ini bertepatan dengan aspirasi kerajaan yang mahu melihat lebih ramai penyertaan wanita profesional dalam platform pembuat keputusan penting di sesebuah organisasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Nageeb berkata, pada mesyuarat pertamanya, Lembaga Pengarah memberikan penekanan kepada tiga perkara utama iaitu membincangkan secara komprehensif hala tuju baharu Felcra Berhad untuk jangka panjang, membincangkan perubahan yang perlu dilaksanakan demi memantapkan struktur organisasi serta mengarahkan pasukan pengurusan yang baharu mengapliksikan sepenuhnya tadbir urus korporat.

“Berdasarkan perubahan dan harapan baharu ini, Felcra Berhad akan mengungguli kredibilitinya sebagai sebuah syarikat milik kerajaan yang mampu menyediakan banyak manfaat demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

 Felcra berperanan dalam pembangunan tanah dan aktiviti perniagaan selain membantu meningkatkan kedudukan ekonomi penduduk luar bandar. – Bernama