KOTA KINABALU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan perbelanjaan perbekalan RM4.088 bilion bagi 2013.
   
Belanjawan Negeri itu dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, yang juga Menteri Kewangan Negeri pada 19 Okt lepas dan dibahaskan sejak 22 Okt lepas.
   
Dewan juga meluluskan pindaan Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 1984 untuk membubarkan 4,560.2 hektar hutan simpan kekal negeri dan digantikan dengan penubuhan 4,642.68 hektar hutan simpan kekal negeri.
   
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Radin Malleh berkata tujuh kawasan hutan simpan dibubarkan bagi tujuan pembangunan dan pemberian geran komunal, iaitu Hutan Simpan Tanjong Nagas (708 hektar), Hutan Simpan Mount Pock (1,388 hektar), Hutan Simpan Gumantong-Guluang-Gesusu (590 hektar), Hutan Simpan Bukau Api-Api (1,239 hektar), Hutan Simpan Dalit (512.20 hektar), Hutan Simpan Kuala Bonggaya dan Kuala Labuk (102 hektar) dan Hutan Simpan Lahad Datu (21 hektar).
   
Beliau berkata empat kawasan tanah kerajaan dikenal pasti untuk ditubuhkan sebagai hutan simpan iaitu Hutan Silimpopon (1,902 hektar), Hutan Dalit (740 hektar), Hutan Menumbok (2,000 hektar) dan satu bidang tanah, yang telah diberi milik di daerah Kuala Penyu berkeluasan 0.678 hektar, melalui proses pengambilan semula tanah.
   
Dewan juga meluluskan pindaan Enakmen Perlindungan Alam Sekitar 2002 bagi memperbaiki dan memantapkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan perlindungan alam sekitar.
   
Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Masidi Manjun, jumlah kompaun yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar meningkat dari tahun ke tahun sejak 2009 dengan RM99,000 kepada RM325,300 tahun ini, sekali gus menggambarkan sikap negatif pengusaha dan pemaju projek mengabaikan kesejahteraan alam sekitar.
   
Turut diluluskan ialah pindaan Enakmen Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) bagi menetapkan dengan jelas penguatkuasaan pungutan ses getah dan tugas serta kuasa-kuasa dalam sistem pentadbiran LIGS, dan pindaan Ordinan Tabung Tanam Semula Industri Getah 1954 bagi menetapkan peranan dan kuasa LIGS dalam pungutan ses dan tanam semula getah serta penggunaan ses tanam semula getah dengan lebih cekap dan jelas. - Bernama