KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pemilih bagi tempoh Parlimen ke-14 yang terdiri daripada seorang pengerusi dan enam orang ahli telah ditubuhkan.

Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong di Dewan Rakyat hari ini.

Menerusi pengumuman itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Arif Md Yusof juga telah dilantik menjadi pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Enam ahli jawatankuasa yang dilantik ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu, ahli Parlimen Penampang, Ignatius Darell Leiking, ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Mohamad Arif turut mengumumkan telah menerima surat permohonan daripada Ahmad Zahid yang mahu menolak pelantikannya sebagai ahli jawatankuasa berkenaan dan mencadangkan untuk digantikan dengan ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Bagaimanapun, setelah meneliti perkara tersebut, beliau mengesahkan permohonan tersebut tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.

"Ia tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat 26, 27 dan 30 (3) iaitu yang mengehendaki usul dikemukakan  bersama satu notis.

“Justeru, saya tidak membenarkan ia dibangkitkan di dalam dewan ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Jawatankuasa Pemilih akan dilantik pada awal Parlimen bersidang untuk menjalankan kewajipan-kewajipan yang diperuntukkan oleh Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

Jawatankuasa ini juga menjalankan perkara-perkara lain yang diserahkan kepadanya dari satu masa ke satu masa.

Selain penubuhan Jawatankuasa Pemilih, turut diumumkan adalah pelantikan ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh, sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi Majlis Parlimen ke-14.