SHAH ALAM - Sejumlah RM200,000 dana daripada tabung SINAR4ROHINGYA diserahkan kepada wakil empat NGO yang akan bekerjasama dalam bantuan misi kemanusiaan di beberapa kem pelarian etnik Rohingya.

Empat NGO berkenaan adalah Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan), Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Selangor dan Yayasan Amal Malaysia (Amal).

Setiausaha Sekretariat SINAR4ROHINGYA, Norden Mohamed berkata, keempat-empat NGO merupakan pasukan pertama yang menerima dana tabung SINAR4ROHINGYA dengan memfokuskan empat bantuan utama iaitu pakej makanan, tempat kediaman, kit kebersihan diri dan tandas.

“Daripada jumlah RM200,000 ini, RM65,000 diperuntukkan untuk 1,625 pakej makanan, RM80,000 bagi pembinaan 400 tempat perlindungan, RM40,000 bagi 1,000 kit kebersihan dan RM15,000 untuk pembinaan 50 tandas.

“Antara fokus kawasan bantuan pertama ini adalah di empat lokasi di Bangladesh iaitu Kem Thankali, Balukhali, Kutupalong dan Teknaf,” katanya, semalam.

Jelasnya, bagi fasa pertama keempat-empat NGO yang dipilih ini setuju berkolaborasi dalam menjalankan gerak kerja yang akan dilakukan bagi memastikan jumlah dana yang diterima dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Kita menjangkakan, bantuan fasa pertama ini akan dilaksanakan bermula 25 September sehingga 31 Oktober depan.

“Kami percaya kita akan dapat membuat penyerahan untuk fasa kedua dalam masa terdekat,” katanya.

Sumbangan daripada orang ramai masih dialu-alukan dan mereka yang berhasrat untuk menyalurkan sumbangan boleh menghubungi pihak sekretariat SINAR4ROHINGYA.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.