KUALA LUMPUR - Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin sedang mengadakan rundingan semula dengan China berkenaan pinjaman dan kontrak.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rundingan semula pinjaman dan kontrak membabitkan syarikat-syarikat China.

"Apa yang beliau cuba lakukan untuk berunding mengenai pinjaman dan kontrak yang diberi kepada syarikat-syarikat dari China

"Kerana (kewangan) yang mengekang. Sebahagian daripada wang tersebut kita dapati, kita tidak memerlukannya.

"Apa yang perlu kita lakukan dengan wang yang tidak diperlukan itu?" katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, buat masa ini Daim belum memaklumkan kepadanya perkembangan terkini hasil rundingan tersebut.

Daim wakil pertama kerajaan baharu mengadakan lawatan ke China selepas kemenangan PH pada PRU14.

Sebaik saja membentuk kerajaan, pentadbiran PH menghentikan buat sementara waktu beberapa projek mega yang melibatkan syarikat China.

Antaranya, projek Landasan Berkembar Pantai Timur (ECRL) dan dua projek saluran paip.

Kerajaan akan berusaha mengurangkan kos ECRL, sebuah projek yang melibatkan pinjaman RM55 bilion dari China.

Kerajaan juga telah mengarahkan kontraktor menghentikan kerja sementara menunggu penilaian semula.

Berkaitan dua projek saluran paip, sebuah syarikat utama China didakwa terlibat dalam penggubahan wang haram melibatkan kerajaan BN dulu.