KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pantas melaksanakan langkah pembersihan sejak menerajui Pakatan Harapan (Harapan) sejurus menang PRU14 pada 9 Mei lalu dan satu perkara yang pasti ialah beliau tidak akan menyembunyikan apa-apa salah laku dalam pentadbiran yang lalu.

Tanpa melenggahkan masa, beliau mengambil langkah membetulkan apa yang dianggapnya kepincangan dalam negara, mengadakan sidang media hampir setiap hari yang menceriakan media yang mengambil peluang untuk bertanya apa-apa soalan kepada tokoh yang berjaya memecahkan tembok kekebalan BN.

Tidak dapat dinafikan Dr Mahathir, yang mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 10 Mei, mempunyai banyak tugas berat.

Yang pertama ialah membentuk kabinet yang terbukti lebih rumit daripada yang dijangkakan bagi pengerusi Harapan itu. Harapan terdiri daripada empat parti iaitu PKR, Bersatu, DAP dan Amanah.

Dr Mahathir menamakan presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri, setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan;  Pesiden Amanah, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri.

Di samping itu, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan memegang portfolio Menteri Pelajaran sementara Wan Azizah Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan. Beliau dijangka menamakan menteri lain dalam masa terdekat.

Seterusnya, beliau menyasarkan langkah pembersihan kepada pegawai tertinggi kerajaan yang didakwa terlibat dalam isu yang berlaku sebelum pilihan raya umum seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah diarah bercuti sementara Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad meletakkan jawatan dan melaporkan diri bertugas di Jabatan Peguam Negara.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah ditukar ke Jabatan Perkhidmatan Awam dan kontrak perkhidmatannya dipendekkan.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang namanya disebut-sebut dalam skandal 1MDB, dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, disekat daripada meninggalkan negara oleh Jabatan Imigresen.

Polis membuat serbuan ke kediaman peribadi Najib di Kuala Lumpur semasa menjalankanh siasatan. Najib dan 1MDB menafikan sebarang salah laku. Dr Mahathir berikrar untuk mendapatkan kembali berbilion-bilion dolar yang dikatakan dilesapkan dari 1MDB.

Dalam perkembangan lain, Dr mahathir mengarahkan status rahsia laporan audit 1MDB digugurkan pada Selasa, yang bakal mendedahkan pelbagai kepincangan dan salah laku tentang bagaimana dana pelaburan strategik itu diuruskan.  

Harapan diterajui Dr Mahathir memenangi pilihan raya umum itu yang menyaksikan pertandingan paling banyak penjuru dengan memecahkan monopoli kerajaan BN yang telah memerintah negara selama 61 tahun.  

Berikutan kekalahan teruk BN, Najib meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN tiga hari selepas pilihan raya.

Seperti dijanjikan, Harapan menunaikan janjinya dengan pengumuman oleh Kementerian Kewangan bahawa GST diturunkan pada kadar sifar, berkuatkuasa 1 Jun.

Satu lagi perkembangan yang signifikan sejak tujuh hari lalu ialah penubuhan Majlis Penasihat untuk menasihati kerajaan berhubung hal ehwal ekonomi dan kewangan negara semasa tempoh peralihan.

Pasukan itu, mempunyai tempoh hayat 100 hari, diketuai bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dan dianggotai bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; taikun perniagaan, Robert Kuok dan pakar ekonomi, Dr Jomo Kwame Sundaram.

Majlis itu kemudian mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi terdiri daripada lima anggota.

Mereka ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk KC Vohrah; Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Datuk Mah Weng Kwai;  Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Brig-Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji; Pensyarah undang-undang dan pemegang Kursi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya, Prof Emiritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan, Datuk S. Ambiga.

Satu lagi perkembangan ditunggu-tunggu ialah apabila Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan semalam selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan memberi pengampunan penuh kepada beliau.

Anwar menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas pembebasannya dan juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana mempercepatkan pembebasannya. Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan kesalahan liwat. Beliau sepatutnya dibebaskan pada 8 Jun. - Bernama