KUANTAN - Kerajaan sedang menimbang cadangan melantik kira-kira 36,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) ke jawatan tetap, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Beliau berkata pertimbangan itu, yang kini dalam peringkat kajian, dibuat dalam usaha membela kebajikan guru berkenaan.

"Kita melihat peluang untuk menaik taraf jawatan guru Kafa ini melalui skim penjawatan tetap dalam kerajaan, berdasarkan beberapa syarat membabitkan kelayakan pensijilan, latihan pendidikan dan perjawatan secara tetap.

"Tujuan utama kita cadangkan mereka ini dilantik secara tetap ialah untuk menjaga kebajikan mereka seperti imbuhan pencen, insurans kesihatan dan elaun lain yang bersesuaian untuk mereka," katanya.

Fuziah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan Pahang di sini, hari ini.

Katanya, cadangan itu dikemukakan di Parlimen pada Ogos lalu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku penyelaras Kafa, diberi tanggungjawab melaksanakan kajian terbabit, yang dijangka mengambil tempoh setahun.

Selain itu, Fuziah juga menasihatkan ibu bapa untuk mengambil tahu mengenai pendaftaran dan keselamatan pusat tahfiz sebelum menghantar anak mereka ke premis berkenaan.

"Ibu bapa perlu pastikan pusat tahfiz itu memiliki lesen jabatan agama, mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak bomba supaya dapat mengurangkan risiko berlaku kejadian tidak diingini.

"Sebenarnya kita (agensi kerajaan yang bertanggungjawab memantau pusat tahfiz) kekurangan kakitangan untuk memantau semua pusat tahfiz yang tumbuh seperti cendawan, oleh itu, saya sangat berharap ibu bapa turut sama memainkan peranan dalam membantu kami," katanya.

Fuziah menambah pusat tahfiz yang berdaftar juga membolehkan mereka menerima bantuan sewajarnya daripada kerajaan, selain memastikan pelajar dapat belajar dalam persekitaran selamat dan diajar oleh guru bertauliah. - Bernama