KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia didakwa menyuntik dana RM2 bilion yang diambil secara hutang ke dalam projek 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dinamakan The Exchange 106.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan, kerajaan melalui anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang bernama MKD Signature Sdn Bhd telah menyuntik RM2 bilion dalam projek pembangunan 1MDB ini.

“Sebagai pertukaran kepada suntikan dana ini, kerajaan mendapat 51 peratus pegangan dalam projek ini.

“Kerajaan telah meminjam RM2 bilion dari Bank HSBC dengan menggadaikan kesemua kepentingannya dalam projek The Exchange berkenaan,” katanya ketika sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.  

Ahli Parlimen Pandan itu menyatakan suntikan dana RM2 bilion yang diambil secara hutang dari bank dengan menggadaikan kepentingan kerajaan dalam projek tersebut.

“Ini bermakna 1MDB terus mengambil hutang yang ditanggung oleh rakyat Malaysia.  “Perkara ini jelas bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kenyataan 1MDB kononnya hutang syarikat pelaburan strategik itu akan dilangsaikan tanpa mengheret rakyat,” kritik beliau.  

Rafizi bekata, suntikan dana ini membuktikan, kerajaan persekutuan telah menambah lagi hutang dengan membuat pinjaman baharu bagi disuntik ke dalam 1MDB.