BAGI masyarakat di Johor Bahru (JB), pastinya tahu mengenai kisah Villa Nabila yang merupakan tempat paling terkenal dengan kisah-kisah seram. Malah di Bukit Serene, JB dikatakan ada tiga banglo terbiar yang khabarnya mempunyai pelbagai cerita mistik.

Namun, sejak berita kehilangan remaja lelaki di sebuah banglo lama itu dua tahun lalu, misteri vila ini kembali dirungkai dan diperkatakan secara meluas.

Walaupun banyak versi cerita yang menggambarkan lokasi itu merupakan antara kawasan 'keras', namun menerusi filem, Villa Nabila, pengarah mudah, Syafiq Yusof mempunyai penceritaan yang tersendiri dalam membawa kisah benar itu ke layar perak.

Menurut pemenang Pengarah Harapan, Festival Filem Malaysia ke 25 (FFM25) ini, mengangkat kisah benar ke layar perak bukanlah satu tugas mudah.

"Saya turut melakukan banyak kajian untuk menghasilkan filem ini dan 80 peratus daripada filem ini adalah kisah benar yang saya dapati daripada pelbagai sumber.

"Hanya 20 peratus sahaja yang ditambah bagi mencantikkan dan menguatkan lagi jalan cerita ini. Setelah diteliti dan membuat kajian, realitinya sungguh berbeza. Dalam kajian yang dibuat, saya turut bertemu sendiri remaja yang hilang, keluarganya dan pihak berkuasa yang terlibat dalam usaha pencarian dua tahun lalu.

"Sebenarnya, banyak kisah lain yang tidak didedahkan secara umum dan filem dokumentari seram ini akan menzahirkan segala-galanya yang ramai orang tidak tahu," katanya.

Bakal menemui penonton di 70 pawagam di seluruh negara pada 15 Januari, filem terbitan Skop Production ini menggandingkan pelakon popular, Pekin Ibrahim bersama pendatang baharu, Tisha Shamsir.


Korek rahsia demi rahsia

Mengambil masa selama setahun untuk menyiapkan draf filem ini, idea untuk menghasilkannya bermula apabila kisah remaja hilang itu menjadi tajuk utama di akhbar tempatan.

Setelah diteliti, Syafiq yakin bahawa filem yang diangkat dari kisah benar itu boleh dibawa ke layar dan memerlukan kerja yang lebih keras untuk memastikan perjalanan cerita yang lebih menarik.

"Selepas sehari berita remaja hilang itu dilaporkan, saya mula merangka perjalanan cerita dan berhasrat untuk mengolahnya dalam bentuk filem.

"Idea untuk menghasilkan filem ini mula terbit apabila saya bertemu dua pengkarya filem bebas, Daniel Martin dan Rosalli Azrin dimana mereka telah menghasilkan dokumentari mengenai kehilangan remaja itu.

"Difahamkan, ada beberapa syarikat produksi lain yang turut berminat untuk menghasilkan filem mengenai Villa Nabila, namun saya terlebih dahulu menghantar sinopsis dan memohon borang kebenaran untuk penggambaran kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas)," jelasnya lagi.

Tambah Syafiq, pertemuan bersama pengkarya itu berjaya mengorek rahsia demi rahsia vila berkenaan sehinggalah diperkenalkan dengan kontraktor yang ditugaskan untuk merobohkan banglo berkenaan.


Turut diganggu?

Enggan menukar lokasi yang boleh mengganggu perjalanan cerita, Syafiq juga turut menggunakan lokasi sebenar banglo berkenaan untuk penggambaran.

Sepanjang tempoh dua minggu penggambaran, Syafiq memberitahu bahawa kawasan itu sering berlaku kemalangan dari hari pertama hingga ke lapan.

"Dalam tempoh lapan hari itu, ada sahaja kemalangan yang berlaku dan satu daripadanya adalah kemalangan maut. Saya tidak pasti adakah ianya satu gangguan ataupun sekadar kebetulan sahaja.

"Namun, kami turut mengambil langkah berjaga-jaga dan sepanjang penggambaran itu, kami ditemani ustaz dan Alhamdulillah, proses penggambaran itu berlaku dengan lancar dan tiada sebarang kejadian yang menimpa kepada kami keseluruhan kru yang terlibat.

Mengenai pemilihan pelakon pula, mereka dipilih atas beberapa faktor dan kehendak watak yang memerlukan karakter sebenar.

"Dalam filem ini, saya memerlukan pelakon yang mempunyai wajah dan perwatakan yang hampir sama dengan karakter filem. Ini kerana Villa Nabila adalah kisah benar, jadi ianya perlu kelihatan semula jadi.

"Untuk gandingan pula, saya tiada masalah dengan mereka kerana mereka mampu melakukan yang terbaik dan saya berpuas hati dengan komitmen yang diberikan," katanya lagi.


Tak berani jangka

Menelan kos produksi sekitar RM1.2 juta, ia bukanlah kos yang perlu dipandang enteng walaupun kebanyakan filem terbitan Skop Production Sdn Bhd, melebihi RM2 juta.

Menurut Datuk Yusof Haslam, melihat kepada keadaan industri perfileman pada tahun lalu, ianya turut memberi igauan kepadanya selaku pemilik salah satu produksi tempatan.

"Soal kutipan mahupun sambutan daripada penonton, saya tidak berani untuk menjangkakannya. Semuanya bergantung kepada rezeki ALLAH SWT.

"Namun, jauh di sudut hati saya untuk melihat filem ini berjaya menarik minat penonton ke pawagam dan sekiranya berjaya memperoleh RM2 juta, ianya sudah cukup memberi pulangan kepada kami. Untuk sasaran yang lebih jauh, saya tidak berani nak kata.

"Saya mengharapkan ada sinar baharu buat industri pada tahun ini. Harap-harap ada magis dan meraih kembali kepercayaan penonton ke panggung," katanya.

Berpuas hati dengan hasil kerja anak bongsunya itu, Yusof menyifatkan Villa Nabila sebagai sebuah filem dokumentari cereka seram yang pertama kali dipertaruhkan produksinya menerusi Syafiq.

"Ini adalah percubaan baharu Syafiq dalam filem eksperimental dan sebagai bapa, saya turut membantunya dalam apa yang dia perlukan. Sejujurnya, karyanya ini tidak mengecewakan.

"Berjaya atau tidak di pawagam, saya serah kepada rezeki namun, sebagai pembikin filem, kami akan terus berjuang dalam industri selagi terdaya," katanya yang sudah tiga dekad dalam industri.